Monday, April 14, 2014

Hudud di Kelantan: PKR tunggu penjelasan PAS


PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil pendirian menunggu keputusan dan penjelasan daripada Lajnah Politik PAS berhubung usaha Kerajaan Kelantan menguatkuasakan hudud di negeri itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu sudah dibincangkan di peringkat Jawatankuasa PAS Pusat tetapi belum ada keputusan sehingga diperincikan di peringkat Lajnah Politik PAS Pusat.

"Barulah PKR boleh mengambil pendirian selepas PAS memberi penerangan, mekanisma, kesan undang-undang itu. Sudah tentu kami kena bincang semula. Kami sedia berbincang," katanya dalam sidang media di ibu Pejabat Keadilan di Tropicana hari ini.

Katanya, Pakatan Rakyat telah mencapai tiga perkara dalan isu ini antaranya, Majlis Presiden menghormati enakmen Kanun Jenayah Syariah yang dikemukakan oleh Kerajaan PAS Kelantan yang melalui Dun yang sah pada 1993 sebelum Pakatan Rakyat ditubuhkan.

Bahkan katanya, Majlis Presiden juga akui kerjasama politik Pakatan Rakyat untuk mengalahkan kerajaan BN jika tidak ketidakadilan rakyat akan terus dirasai.

"Pakatan Rakyat akan menggunakan saluran politik pilihan raya untuk kalahkan BN. Ini keputusan terakhir yang masih kekal.

"Keputusan sekarang Pakatan Rakyat terikat dengan keputusan itu. PKR juga terikat," katanya.

Tegas Saifuddin, seluruh pimpinan Pakatan Rakyat memberi keutamaan kepada kerjasama ke arah politik untuk jatuhkan BN.

"Ini harus diberi keutamaan seluruh pimpinan. Saya suka anjurkan keutamaan kukuhkan Pakatan Rakyat bagi mendepani Umno BN," tambahnya.