Negara kehilangan tokoh hak asasi manusia bertaraf dunia, Irene Fernandez yang meninggal dunia secara mengejut akibat kegagalan jantung semalam.
Irene yang juga aktivis politik terkemuka PKR serta pernah bertanding dibawah lambang parti tersebut untuk kawasan parlimen Subang pada pilihanraya umum 1999, adalah juga Pengarah NGO Tenaganita dan penggerak utama beberapa program tajaan Pakatan Rakyat seperti Bersih dan Seksualiti Merdeka.
Kehilangan ini wajib diratapi semua orang kerana kita tidak mungkin mempunyai seorang lagi Irene Fernandez selepas ini. Komitmen dan kegigihan beliau dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan hak asasi manusia di Malaysia ini, tidak mungkin dapat ditiru oleh sesiapa.
Oleh yang demikian, sewajarnyalah Irene diberikan satu penghormatan khas bagi mengenang jasa dan ketokohannya kepada rakyat Malaysia khasnya dan dunia amnya.
Di Malaysia ini, tidak ada anugerah yang lebih tinggi untuk menghargai pencapaian seorang wanita dalam pelbagai bidang melainkan Anugerah Sayyiditina Khadijah yang pernah diberikan kepada Ibu Reformasi negara, Datin Seri Wan Azizah Ismail.
Anugerah itu bakal meletakkan nama Irene Fernadez setanding dengan tokoh-tokoh wanita dunia yang lain seperti Mother Teresa, Florence Nightingale, Indra Gandhi, selain Wan Azizah sendiri.
Walaupun Irene mungkin berada dalam kelasnya yang tersendiri (politik+hak asasi manusia) berbanding dengan nama-nama yang disebutkan di atas, tapi yang penting adalah namanya harus dipahat pada sesuatu agar tidak luput ditelan zaman.
Kalau nak harapkan kerajaan BN yang memerintah sekarang untuk menghargai jasa dan pengorbanan Irene, boleh lupakan sajalah kerana BN melihat Irene sebagai musuh berikutan pembabitan aktif Irene dengan politik PKR dan Pakatan Rakyat semasa hayatnya.
Dalam masa yang sama, kerajaan Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan perlu memikirkan semula beberapa nama jalan di negeri masing-masing untuk diabadikan dengan nama Irene sebagai bukti betapa kita menghormati dan menghargai peranan dan jasa yang ditinggalkan Irene.
Irene terlalu banyak jasanya kepada negara, malah sesetengah pendapat mengatakan, jasa Irene lebih besar dari jasa Mahathir yang 22 tahun menjadi Perdana Menteri!!
Memang Irene tidak membina puncak tertinggi dunia, lapangan terbang terbesar dan seperti itu, tapi kalau bukan kerana Irene, rakyat Malaysia akan sentiasa dipandang kolot dan ketinggalan zaman, terutama dalam hal-hal yang membabitkan hak asasi manusia seperti LGBT dan keadilan sejagat.
Dengan peranan yang dimainkan Irene, golongan LGBT tidak lagi ditindas dan menjadi rakyat kelas kedua di negara ini, malah mereka sudah tidak malu mendedahkan diri kepada khalayak ramai melalui laman media sosial, termasuk di kalangan orang Melayu sendiri.
Pengiktirafan ini tidak mungkin diperolehi kalau bukan kerana jasa dan pengorbanan yang dilakukan Irene dan rakan-rakannya. Walaupun masih banyak yang boleh dilakukan, tapi sudah banyak juga yang berubah, antaranya hasil sumbangan Irene.
Selamat tinggal Irene, kami akan sentiasa menyayangi mu.