Friday, April 18, 2014

Ketua Hakim anggap Karpal 'peguam hebat'


KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria berkata pemergian peguam terkemuka Karpal Singh, merupakan kehilangan besar kepada bidang guaman, seorang tonggak utama dalam membantu badan kehakiman.  
    
Beliau menggambarkan Karpal Singh sebagai seorang "peguam hebat" di mana kehandalannya di dalam mahkamah akan sentiasa dikenang.
    
Arifin berkata Karpal Singh memang seorang peguam yang dihormati, memainkan peranannya dengan baik berdasarkan pengalaman perundangannya yang luas.
    
"Sudah tentu kami (badan kehakiman) akan merindui beliau. Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Encik Karpal Singh," beliau memberitahu Bernama ketika dihubungi.
    
Bekas Pengerusi DAP dan Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Km 306.1 Lebuhraya Utara Selatan dekat Gua Tempurung di Kampar awal hari ini, kata polis. Beliau berusia 74 tahun.
    
Turut terbunuh dalam kemalangan pukul 1.10 pagi yang melibatkan sebuah MPV dan sebuah lori, adalah pembantu peribadi mendiang, Michael Cornelius berusia dalam lingkungan 40-an, kata Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon.

Arifin mengakui beliau merasa terkejut mendengar Karpal Singh meninggal dunia pagi semalam.
    
Beliau yang merupakan ketua tertinggi badan kehakiman negara berkata, Karpal Singh telah membentangkan kes yang diwakilinya sejak Arifin merupakan Hakim Mahkamah Tinggi sehingga sekarang sebagai Ketua Hakim Negara dan Hakim Mahkamah Persekutuan.
    
Karpal Singh meninggalkan seorang isteri, Gurmit Kaur, empat anak lelaki dan seorang anak perempuan.
    
Empat anaknya mengikut jejak langkah beliau sebagai seorang peguam, iaitu Jagdeep Singh, Gobind Singh, Ram Karpal Singh dan Sangeet Kaur. 
    
Bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi berkata Karpal Singh adalah seorang peguam yang sentiasa berkelakuan amat baik bila membentangkan kes yang diwakilinya di dalam mahkamah semasa beliau menjadi hakim.

"Beliau adalah seorang lawan yang mencabar di dalam mahkamah semasa saya masih seorang peguam, " kata Zaki ketika dihubungi.
     
Zaki berkata walaupun Karpal Singh menyerangnya secara politik dalam satu isu semasa beliau menjadi Ketua Hakim Negara tetapi apabila mendiang membentangkan kesnya di hadapan beliau di mahkamah, Karpal Singh sering menunjukkan perilaku yang baik.
    
Karpal Singh telah memfailkan satu permohonan untuk memulakan semakan kehakiman untuk mendesak Zaki supaya memberikan respons kepada aduannya terhadap dakwaan salah laku Zaki semasa menjadi seorang peguam ,tetapi ditolak oleh Mahkamah Tinggi.
    
Bagaimanapun pada 13 Okt 2011, Karpal Singh menarik balik rayuannya terhadap penolakan permohonannya oleh Mahkamah Tinggi setelah perkara itu menjadi akademik selepas Zaki bersara.    
    
Karpal Singh juga merupakan ketua peguam di dalam kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kes itu kini di peringkat Mahkamah Persekutuan selepas Anwar memfailkan rayuan terhadap penghakiman Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lepas yang menjatuhkan hukuman lima tahun penjara selepas mahkamah mendapati beliau bersalah meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun 2008.
    
Pada 11 Mac tahun ini, Karpal Singh telah didenda RM4,000 setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap penyingkiran Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin oleh Sultan Azlan Shah, semasa satu sidang akhbar pada tahun 2009.
    
Beliau memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan hukuman denda RM4,000 pada 24 Mac lepas.
    
Antara kes profil tinggi yang dikendalikan oleh peguam veteran itu ialah pada 1987 di mana beliau memulakan prosiding terhadap Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang bertitah baginda tidak akan mengampunkan sesiapa yang dijatuhkan hukuman mati mandatori kerana mengedar dadah di Selangor. 

Bagaimanapun, permohonan beliau ditolak pada tahun yang sama.
    
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini melahirkan kesedihan beliau atas kematian Karpal Singh.  
    
"Adalah sungguh menyedihkan mendengar pemergian secara tiba-tiba seorang anggota Majlis Peguam.  Takziah saya kepada keluarga," kata Abdul Gani kepada Bernama.
    
Presiden Majlis Peguam Malaysia Christopher Leong menggambarkan Karpal Singh sebagai antara yang tersohor di kalangan peguam. Seorang rakyat Malaysia yang unggul dan amat berani.
    
Pemergian Karpal Singh satu berita sedih dan Majlis Peguam Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga Karpal Singh, katanya.
    
"Karpal berkata baru-baru ini jika beliau pergi akan ada 100 lagi Karpal  yang akan mengambil tempatnya.  Bagaimana saya berharap itu adalah benar kerana Malaysia memerlukan Karpal  dan terus memerlukan lebih ramai lagi seperti Karpal," katanya.     
    
"Beliau adalah istimewa dan lelaki yang baik keturunannya, yang dihormati kerana kepimpinan dan keberaniannya dalam menegakkan nilai dan perjuangan," kata Leong.
    
"Beliau adalah seorang yang kuat berpegang pada prinsipnya. Beliau digeruni dan dihormati sebagai seorang peguam. Karpal juga adalah seorang yang lantang dalam mempertahankan Perlembagaan Persekutuan daripada mereka yang cuba melemahkan, menjatuhkan, menyalahtafsir atau mengubah struktur dan peruntukan asasnya," kata Leong. - Bernama