Thursday, April 10, 2014

Ku Li agaknya hilang sabar dengan politik kotor negara

KUALA LUMPUR: Jika kita mahu melihat dan mengetahui bagaimana seriusnya penaklukan pemimpin-pemimpin Umno terhadap negara kita, boleh kita baca dengan teliti ucapan Tengku Razaleigh Hamzah dalam pelancaran buku Rich Malaysia and poor Malaysians yang ditulis oleh Anas Alam Faizli baru-baru ini. 

“Apa yang disebutkan oleh Tengku Razaleigh dalam ucapan beliau itu hanya secebis dari perlakuan salah guna kuasa dan rasuah yang melibatkan pimpinan Umno sekarang ini,” tulis Aspan Alias di dalamblognya semalam.

Menurutnya, Tengku Razaleigh merupakan pemimpin Umno yang telah diketepikan secara sistematik oleh pimpinan rakus Umno yang takut dengan pengaruh dan kemampuan Umno memimpin negara jika beliau menjadi Perdana Menteri. 

“Sikapnya yang gentleman menjadikan beliau tidak sesuai dengan kehendak dan budaya politik pimpinan rakus negara semasa itu. 

“Maka itulah sebabnya beliau tidak terlibat dengan segala perbuatan keji yang dilakukan oleh pimpinan negara kerana beliau sudah tiada dalam kabinet sejurus selepas beliau tewas dalam usaha beliau untuk menyekat apa yang berlaku hari ini dari berlaku,” tulisnya lagi.

Justeru, ujarnya sekarang Tengku Razaleigh boleh bercakap tanpa halangan dan telah memberikan pandangan yang akhirnya bermaksud Umno merupakan parti yang bermusuh dengan orang Melayu sendiri dalam ucapan pelancaran buku tulisan Anas Alam Faizli itu. 

Tambahnya, bekas Menteri Kewangan Negara itu merupakan ‘authority’ yang paling kuat untuk memberikan komen tentang apa yang berlaku di negara ini. 

Menurut Aspan lagi, Petronas yang beliau tubuhkan dengan risiko keselamatan peribadi beliau sendiri sekarang telah diperguna oleh pimpinan negara untuk kepentingan politik parti dan peribadi pimpinan hari ini. 

“TR tentu merasakan kesedihan kerana beliau telah menubuhkan syarikat petroleum nasional ini dengan peluh dan keringat tanpa bayaran. Alih-alih pemimpin yang mengambil kuasa negara mempergunakan untuk politik peribadi mereka dengan sewenang-wenangnya,” ujarnya.

Baginya, kesabaran Ku Li berdiri sendirian di pinggiran politik kotor negara agaknya sudah sampai ke tahap kehilangan kesabaran beliau. 

Itu sebabnya, kata Aspan apa yang Ku Li perkatakan itu tidak dapat disambut oleh mana-mana pemimpin Umno sama ada yang sedang berkuasa atau siapa yang sudah bersara.