Difahamkan pada waktu ini sedang berlangsung satu seminar berkaitan dengan 'Maqasid Syariah' di Kuala Lumpur, yang perasmiannya dilakukan oleh Najib Tun Razak di Dewan Felda malam tadi.
Pakatan Rakyat agak tertarik dengan penganjuran program ini - bukan kerana tentang apa dan mengapa ia dianjurkan tapi dari sudut kebetulan yang sangat unik dengan Najib Tun Razak yang begitu bersungguh mahu mempolopori fahaman ini dan mengajak rakyat Malaysia yang beragama Islam untuk turut sama mengikutinya.
Untuk rekod, sejak mula memerintah, sudah 3 kali Najib menganjurkan seminar sedemikian rupa di Malaysia, seterusnya mencetuskan persoalan, apa yang istimewa tentang 'Maqasid Syariah' ini agaknya?
Pakatan Rakyat tidak boleh memandang mudah penganjuran seminar seperti ini kerana ia mesti mempunyai kepentingan strategik tertentu dari segi politik, atau seorang Presiden UMNO tidak akan berulang kali menganjurkannya di negara ini.
Sebagai permulaan, perkataan 'Maqasid Syariah' ini buat yang tidak tahu, bukanlah pertama kali diucapkan oleh seorang Perdana Menteri di Malaysia ini.
Pada satu ketika dulu, sewaktu Tun Mahathir Mohammad masih lagi menjadi Perdana Menteri, dia juga guna pendekatan Maqasid Syariah ini untuk dijadikan alasan kenapa Malaysia tidak perlu melaksanakan hudud seperti yang dituntut oleh PAS.
Kini dibawah pentadbiran Najib, fahaman ini digunakan semula untuk mengelirukan rakyat Malaysia agar kembali semula kepada ajaran Islam - tapi Pakatan Rakyat percaya dalam bentuk yang telah dicorakkan oleh UMNO terlebih dahulu.
Inilah maksud Maqasid Syariah yang sebenarnya - atau paling tidak yang cuba diterapkan UMNO.
Maka tidak hairanlah kenapa sejak beberapa tahun lepas, pentadbiran Najib telah menganjurkan seminar tahunan bagi membincangkan perkara sama di Kuala Lumpur.
Dijemputnyalah entah Pak Arab mabuk mana (asal ada janggut) datang meramaikan program tersebut dengan tujuan nak menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia kononnya dibawah tangannya adalah mengutamakan Islam, lebih dari yang disangkakan orang.
Sebetulnya, fahaman maqasid syariah yang dipelopori Najib adalah tidak lebih dari satu bentuk penjajahan minda dengan agama sebagai latar belakang. Kebetulan majoriti orang di Malaysia ini bukan faham benar bahasa Arab, lebih mudahlah dikelirukan.
Pendekatan sama pernah digunakan PAS satu ketika dulu, dan mengetahui bahawa undi Melayu/Islam adalah kunci untuk mempertahankan segala bentuk penyelewengan di Putrajaya dari terbongkar, maka UMNO/BN terpaksa meniru PAS dalam soal memperkenalkan dasar-dasar yang berbunyi ke Arab-Araban dan Maqasid Syariah ini adalah satu daripadanya.
Jadi berhati-hatilah dengan konsep menyeleweng yang cuba diperkenalkan ini, kerana Pakatan Rakyat difahamkan majoriti peserta seminar ini adalah terdiri dari ketua-ketua kampung dan pemimpin masyarakat di peringkat bawah. Kelompok ini lebih mudah menyusup di dalam minda masyarakat tanpa disedari berbanding dengan pemimpin politik di peringkat nasional.
Malaysia adalah sebuah negara sekular dan apa jua bentuk fahaman yang lain dari itu, seharusnya ditolak sama sekali. Dunia sudah cukup bermasalah dengan negara-negara Arab sedia ada, dunia tidak perlu sebuah lagi negara Arab di rantau sebelah sini.