Tuesday, April 29, 2014

Orang bijak berfikir serupa

Dua atau tiga hari selepas saya turunkan dalam Facebook betapa ruginya kita dapat memberi masa berdakwah tentang hudud kepada mendiang Karpal Singh, saya terbaca kenyataan Tok Guru Nik Aziz, Mursyidul Am akan rasa terkilannya tidak sempat menerangkan kebaikan peraturan Islam kepadanya sedang mereka sudah boleh duduk semeja dengannya.

Kami berdua tidak berhubung sama sendiri tentang tragedi Karpal Singh. Terdapat pandangan spontan yang serupa.

Inilah agaknya yang dikatakan kata-kata hikmat Orang Putih, wise men think alike iaitu orang bijak berfikir serupa. 

Saya tidaklah termasuk dalam kalangan orang bijaksana seperti yang dimaksudkan oleh kata-kata hikmat itu. Tetapi sekadar hendak menyebutkan apa yang saya rasa tentang kehilangan Karpal itu sama dirasakan oleh Tok Guru. Ertinya saya menulis betul tentang kerugian dan peluang yang terlepas itu.

Adalah benar mendiang amat lantang menolak politik PAS yang mahu memperkasakan Islam. Sejak tahun 1999 mendiang sedikit kendur kerana PAS dan DAP terikat dengan politik Barisan Alternatif. Lima tahunnya yang terakhir, dia masih belum memahami keindahan hudud tetapi dia boleh duduk semeja dengan pemimpin PAS bukan sekali dua bahkan acap. Walaupun dia belum menerima tuntutan PAS itu tetapi beliau sudah berpendirian, semua masalah boleh dibincang.

Dulu persepsi kita, dia seolah-olah anti Islam, tetapi sejak berkawan dengan PAS, dia saja yang menyediakan kuih hari jadi di rumah untuk Tok Guru Nik Aziz. Saya tiada pengetahuan Tok Guru pernah memotong kek hari jadi atau pulut kuning hari jadi dalam hidupnya, tetapi Tok Guru pergi ke rumah Karpal bagi meraikan Karpal yang meraikannya.

Tidaklah Karpal hendak menjadikan Tok Guru seperti lain-lain orang yang berbudaya barat, tapi itulah caranya untuk mendekati dan memahami Tok Guru..

Kata Asyraf, juara Imam Muda musim pertama, Karpallah orang pertama meraikan kejayaannya.

Karpal tidak mencapai kejayaan politik atas sokongan orang Melayu dan Islam. Dia naik atas sokongan pengundi Cina. Dengan caranya tidak ada apa-apa kepentingannya dari orang Melayu dan Islam bila dia meraikan hari jadi Tok Guru dan kejayaan Imam Muda Asyraf. Dan tidak ada dalam ingatannya dia akan bertanding di kawasan Melayu.

Maka yang dibuatnya itu adalah kerana meraikan orang yang dikenalinya dan setelah dia pun sudah menjalin politik dengan parti politik Islam.

Dalam hidupnya, tidak banyak masanya bersama orang Islam. Apabila dia menceburi politik sekitar 40 tahun lalu, dia terus berada di tengah politik yang menjauhkannya dari orang Melayu. Masanya untuk mengetahui Islam tidak ada. Islam yang diketahuinya adalah dari mulut musuh Islam.

Hanya kurang dari 10 tahun terakhir ini baru dia berpengalaman bercakap dengan penyokong parti yang tegas dan lantang mnyuarakan Islam. Semuanya sibok dengan kerja dan politik masing-masing. Peluang tidak banyak baginya untuk bersama orang PAS dan orang Islam, tidak sebanyak masa yang Anwar Ibrahim beri untuk bersama bukan Islam.

Dan PAS pun mesti mengakui tumpuan untuk memahamkan Islam kepada orang bukan Islam pun tidak cukup. PAS sudah bersama Karpal tetapi ia belum sempat banyak benda, Karpal pun sudah tiada.

PAS dan orang Islam sudah tidak dapat buat apa lagi pada Karpal yang sudah tidak ada. Tetapi rakan-rakan Karpal yang masih ada adalah ramai. Yang hendak dibuat supaya mereka tidak terbiar seperti Karpal yang tidak diperhatikan?