Saturday, April 12, 2014

Pemergian Pak Hamid : Gugurnya sebutir bintang

Saya mendapat khabar sedih pemergian mengejut Abdul Hamid bin Abdul Kadir (Pak Hamid) Ketua jurulatih kawad kebangsaan Jabatan AMAL dari Johor ke rahmatullah pagi tadi jam 10 pagi.
Beliau dikatakan sedang mengadakan latihan kepada anggota AMAL dalam program kursus kepimpinan AMAL di Sepang  dan rebah secara tiba-tiba dan kemudiannya disahkan meninggal dunia.

Dalam usianya 59 tahun  beliau mengabadikan dirinya kepada perjuangan Islam dan memilih AMAL sebagai medan kebaktiannya. Beliau adalah anggota AMAL terlatih, dedikasi, sabar dan komited terhadap tugasannya. 

Beliau sanggup meredah hutan, mengharungi banjir dan lumpur untuk hadir dan bertugas di mana lokasi di arahkan.

Menjaga lalulintas, parkir, menjaga keselamatan dan kebersihan dalam sesuatu program besar PAS tidak menjadikan beliau kekok dan jemu dengan tugasannya itu.
Demi jemaah, dalam usia senja itu beliau gagahkan diri bersama anak-anak muda yang jauh 20 tahun dari usianya.

Allahyarham Pak Hamid adalah ikon anak-anak muda. Beliau jugalah ikon kebanggaan AMAL. Beliau adalah contoh insan ikhlas berjuang demi Islam.

Tanpa nama dan kedudukan tinggi, Pak Hamid tidak kejarkan pangkat, kedudukan dan jawatan dalam PAS.
Perjuangan Islam dengan mencapai keredhaan Allah adalah matlamat utama PAS dan Pak Hamid telah membutikannya.

Bertepatan dengan slogan yang selalu didendangkan AMAL iaitu Allah matlamat kami, Rasulullah pedoman kami, Al Quran panduan hidup kami, jihad adalah jalan juang kami dan mati di jalan Allah adalah cita-cita kami dan Pak Hamid telah membuktikan kata-katanya untuk hidup dan mati di jalan Allah. 

Pemuda PAS Malaysia (PPM) mendoakan semoga Allah menerima amal Allahyarham dan diangkat sebagai para syuhada di jalanNya.

Semoga keluarga Almarhum Pak Hamid tabah menghadapi ujian yang melanda ini. Berehat dan bergembiralah almarhum di alam sana dengan nikmat yang dijanjikan setelah menumpahkan seluruh kehidupan untuk Islam dan kami sentiasa mencemburui kehidupan beliau.

*Penulis adalah Ketua Pemuda PAS Malaysia