SHAH ALAM: Exco Agama Selangor, Sallehen Mukhyi berkata kerajaan negeri akan menunggu sehingga siasatan selesai sepenuhnya mengenai Al-Khitab atau versi Bible dalam Bahasa Melayu, sebelum membuat keputusan untuk memulangkan 300 buah Bible yang dirampas dari Bible Society of Malaysia oleh Jabatan Agama Islam Selangor.
“Sekiranya siasatan telah selesai, barulah Menteri Besar (MB), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh berjumpa dengan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail mengenai cara untuk memulangkan Bible tersebut,” ujarnya.
Tambahnya lagi, apabila Bible itu telah diberikan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), pihak KDN perlu membuat pengesanan untuk memutuskan samada penggunaan kalimah Allah melanggar akta cetak ataupun tidak.
Cadangan daripada DAP, untuk MB hanyalah berbentuk saranan sahaja, kerana ia bergantung samada siasatan telah selesai ataupun tidak.
“Menteri besar hanya mencadangkan Persatuan Bible Malaysia untuk menulis surat kepada peguam negara.
“Surat hanyalah sekadar surat, dan belum tentu pihak Peguam Negara membenarkan kitab Bible itu dipulangkan,” ujarnya.
Dalam pada masa yang sama, Sallehen tidak dapat mengulas lanjut berkenaan mengapa Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong menulis surat bagi mewakili kerajaan negeri.
Sebelum ini, pada 1 Januari lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menyerbu PBM di Damansara Kim dan menahan dua orang pegawai iaitu Pengerusi, Lee Min Choon dan Setiausaha Agungnya Simon Wong.
Dalam rampasan tersebut pihak Jais telah merampas 300 bible versi bahasa Malaysia dan juga bahasa Iban.