Sunday, April 13, 2014

UAIM: Pancuran air RM5 juta atau pancuran ringgit?


Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mendapat jolokan Taman Ilmu dan Budi (The Garden of Knowledge and Virtue) sering mendapat perhatian pihak dalam dan luar kampus lantaran pelbagai isu yang melatari kanvas masa dan sejarah kampus tersebut.

Antaranya seperti penukaran penggunaan songkok kepada “mortar board” sewaktu majlis konvokesyen UIAM (sedangkan penggunaan songkok amat sinonim dengan imej UIAM), pemecatan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) sekitar tahun 2002/2003, pemecatan Dr. Aziz Bari; pakar perlembagaan dan pensyarah undang-undang yang dianggap sebagai tindakan mengampu pemerintah, pembatalan program-program ilmiah anjuran pelajar di saat-saat akhir atas arahan pihak pentadbiran, pilihan raya kampus yang berjalan sebanyak dua kali, campur tangan pihak pentadbir khususnya Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dalam mencatur kerusi Presiden MPPUIAM sekarang dan yang terbaharu dalam bulan April ini pihak pentadbiran UIAM “berselera besar” untuk membina semula pintu gerbang masuk (entrance gateway) dan pancuran air (water fountain) yang dianggarkan kos pembinaannya berjumlah RM5 juta.

Seperti yang dimaklumkan oleh Presiden UIAM yang terbaru, Tan Sri Dr. Rais Yatim, ada pihak yang “bermurah hati” untuk menderma RM5 juta agar pintu gerbang utama dan  pancuran air itu dibina semula, dan bagai sudah dirancang semua reka bentuk dan kira-kira kos awal sudah dibentangkan kepada beliau. 

Tidak lain dan tidak bukan ia merupakan salah satu lagi projek pembaziran yang tidak mendatangkan manfaat akademik kepada universiti dan boleh disifatkan hanya untuk kepuasan pihak tertentu sahaja.

Umum mengetahui UIAM bakal menuju status “Research University”, lantas mengapa perkara ini dipandang sepi dan tidak bersungguh sedangkan perkara yang bukan keutamaan diberi perhatian? 

Sekali imbas, pasti terlintas soalan di dalam hati, sejauh manakah kesungguhan khususnya pihak pentadbir dan para kakitangan akademik dalam mencapai matlamat ini, dan mengapa mereka lebih rela untuk memberi perhatian yang serius terhadap projek ini lebih daripada meningkatkan mutu akademik dan prasarana kampus yang dilanda pelbagai masalah. 

Atau adakah cara ahli politik Umno yang baru menduduki kerusi empuk Presiden UIAM mengurus wang menjadi imej baru UIAM usai projek ini bermula?

Ironi dengan cerita projek berskala besar tersebut, sebenarnya pelbagai masalah melingkari isu kebajikan pelajar dan kakitangan akademik yang mungkin sengaja dipandang enteng oleh pihak pentadbiran kampus. 

Isu penutupan pendingin hawa selepas pukul 5.30 petang yang mendatangkan kesulitan kepada para pelajar dan pensyarah yang masih mempunyai kelas, kekurangan prasarana dan fasiliti kampus seperti kerusi, meja dan LCD yang rosak di dewan-dewan kuliah bertahun-tahun, isu sungai yang kotor dan tidak dalam lantaran mendapan pasir hasil projek di pinggir UIAM, penutupan kafetaria Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim tanpa sebarang notis dan perbincangan dengan wakil peniaga dan pelajar, isu tidak cukup penajaan terhadap atlet sukan UIAM yang dihantar untuk bertanding serta dalam bulan lepasterjadinya “polisi separuh masak” pihak pentadbiran UIAM yang menutup pintu gerbang utama untuk pelajar selepas pukul 12 malam dan pelajar terpaksa melalui pintu 3 (pintu belakang), kesannya para pelajar khususnya siswi diancam dengan cubaan jenayah ragut.

Terlalu banyak ketempangan yang timbul dan pihak pentadbir seolah-olah memejamkan mata di atas permasalahan kebajikan dan akademik yang timbul di tengah-tengah warga kampus. 

Setiap polisi dan tindakan yang diambil oleh pihak pentadbir langsung tidak mengambil kira pandangan suara pelajar walaupun sudah ada MPP sebagai medium untuk pelajar meluahkan pendapat, dan sering kali kelihatan pihak pentadbir akan melaksanakan dahulu dasar, terlihat ada “flip-flop” baru ingin melihat pendapat pelajar. 

Adakah pelajar dan kakitangan akademik hanya bahan uji kaji sesuatu dasar dan polisi? Sepastinya tidak. Malah lebih buruk bilamana pihak pentadbir menekan suara pelajar dengan memberi amaran dan memarahi mereka seandainya mengutarakan isu ini di dalam dewan mesyuarat. 

Dalam isu projek berskala besar RM5 juta ini, seandainya dana tersebut digunakan untuk menampung dan memperbaiki masalah prasarana dan fasiliti yang timbul, pasti ia dapat mendatangkan manfaat yang lebih besar kepada pelajar dan kakitangan akademik, dan ia akan menguntungkan semua pihak berbanding pihak-pihak tertentu sahaja.

Pada sisi pandang Islam terhadap alam bina (Islamic Built Environment), terdapat hukum-hukum yang mendasari setiap pembinaan sesuatu bangunan. Antaranya wajib, mubah dan haram. 

Hukum membina sesuatu bangunan menjadi wajib bila mana ia menjadi keperluan dan mendatangkan maslahah kepada umum, sebagai contoh pembinaan sekolah. 

Sementara itu ia menjadi mubah (disukai) bila mana sesebuah bangunan itu masih elok dan dan tidak perlu lagi untuk diubah suai dan dibina semula kerana tidak dapat terdapat “physical defects”(kecacatan fizikal) pada bangunan tersebut. 

Ia akan menjadi haram bila mana bangunan itu didirikan untuk dasar bermegah-megah, tidak mendatangkan manfaat kepada masyarakat sekitar dan penggunanya sendiri, serta ia tidak lebih sekadar penambah nilai estetika dengan adanya bangunan tersebut. 

Dalam projek RM5 juta ini, ia dikhuatiri jatuh kepada hukum haram kerana ia melibatkan pembaziran wang dalam jumlah yang besar hanya untuk pintu gerbang utama dan pancuran air, sedangkan di sana banyak lagi permasalahan kebajikan dan akademik yang timbul. 

Dalam masa yang sama, struktur binaan pintu gerbang utama dan pancuran air masih utuh dan elok, serta tidak terdapat kecacatan fizikal atau keretakan pada struktur binaan yang mendesak ia perlu dibina semula.

Dalam projek ini yang turut disertai oleh pihak Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar selain pihak pentadbir, seharusnya mereka bertindak lebih arif dalam memainkan peranan yang penting sebagai “project management consultant” (PMC) dalam menasihati Presiden UIAM yang “bermurah hati” untuk menderma RM5 juta tersebut agar ia dapat disalurkan kepada perkara yang lebih menjadi keutamaan. 

Terlalu banyak masalah prasarana dan fasiliti yang timbul dan ia semuanya mesti diselesaikan terlebih dahulu, tidak perlulah tergesa-gesa untuk membina semula pintu gerbang utama dan pancuran air yang baharu, sedangkan pancuran air yang ada sekarang baru sahaja dibuat semula dalam beberapa tahun lepas. Bukankah ini satu pembaziran wang ringgit?

Keutamaan harus diberikan kepada keselesaan prasarana dan fasiliti serta matlamat UIAM untuk mencapai taraf “Research University” agar suasana pembelajaran yang kondusif dan teratur dapat diwujudkan terlebih dahulu. 

Tidak ada makna seandainya diwujudkan pintu gerbang utama dan pancuran air yang baharu sedangkan taraf akademik universiti masih di takuk yang lama, “tangan-tangan jahat” politik luar masih menekan suara pelajar dan menyekat kegiatan akademik mereka, para pentadbir kampus bebas meletakkan dana pada tempat yang mereka rasa “sesuai” di samping para pensyarah ditakutkan dengan tindakan tatatertib dan surat tunjuk sebab seandainya berbeza pendapat dengan pihak pentadbir UIAM.  

Para pelajar dan kakitangan akademik tidak mahu melihat UIAM hanya menjadi “padang permainan” elit pemerintah dalam mencorak laluan perjalanan akademikdan perubahan fizikal UIAM dengan projek-projek yang tidak mendatangkan manfaat terbanyak. 

Sudah sampai masanya pihak pentadbiran kampus berhenti bertindak sesuka hati dalam mencatur dasar dan polisi kampus tanpa menilai suara pelajar dan kakitangan akademik selain membiarkan diri “digembala” oleh aparat politik luar. 

Para pensyarah juga seharusnya lebih berani dalam menyuarakan pendapat menegur kesilapan pihak pentadbiran kampus, bukan setakat berani menghentam mereka dalam dewan kuliah di hadapan para pelajar. 

Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) UIAM pula yang dilihat lebih agresif melalui exco-exconya dalam memperjuangkan hak dan suara pelajar, ini satu perkembangan yang membanggakan. 

Walaupun mempunyai presiden MPP yang dinobatkan sebagai “Tokoh Mahasiswa Kebangsaan”, dia tidak lebih sekadar menjadi “pak turut” terhadap pihak pentadbir kampus dan lebih menghabiskan masa berjalan “ke sana-sini” di luar kampus berbanding melihat lebih dekat masalah kebajikan pelajar dan kakitangan akademik. 

Semua tindakan tidak masuk akal dan menghina nilai akademik kampus ini mesti dihentikan serta-merta.