MUAR: Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib hari ini turut hadir memeriahkan Karnival 60 Tahun PAS Johor yang berlangsung di Parit Tarom di sini.
Dalam ceramah 'warming up' petang tadi, tokoh Umno itu turut berkongsi rahsia kenapa beliau bertindak keluar dari parti yang dia begelumang sekian lama, dan menyertai PAS.
"Kita nak selamat dunia akhirat. Nabi Muhammad SAW pesan kalau nak selamat kena ikut al-Quran dan Sunnah.
"Zaman Umno, memang buat surau, pergi haji, umrah sembahyang terawih, tapi rohnya tidak ada.
"Yang betul buat jugak, yang tak betul pun buat jugak, menari pun buat jugak," kata beliau yang lebih popular dengan gelaran Mat Taib.
Menurut Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat itu lagi, sistem pemerintahan negara ini kian rosak dengan pemimpinnya pula tidak berminat untuk membetulkan keadaan seperti diajar agama.
"Khatib di masjid tadi sebut tugas kita 'amar makruf nahi mungkar' (mengajak kepada kebaikan, mencegah kemungkaran).
"Keluar masjid buka TV, tengok makruf banyak ke atau mungkar banyak," soal beliau sambil menekankan bahawa pemimpin sekarang harus ditukar.
Turut serta pada ceramah itu Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu serta Pesuruhjaya PAS Johor Aminolhuda Hassan.
Malam ini, ketiga-tiga mereka akan sekali lagi berceramah sempena majlis perasmian Karnival 60 Tahun PAS Johor itu.