Tuesday, May 20, 2014

Anak muda di Teluk Intan harapan perjuangan


DOA saya dalam Pilihan Raya Kecil PRK Teluk Intan tidak lain tidak bukan, moga kemenangan bergaya diperolehi oleh calon Pakatan Rakyat dari DAP. Sebaik DAP mengumumkan seorang anak muda sebagai calon, segera ingatan saya terimbau dengan strategi-strategi yang dibawa oleh Rasulullah SAW sepanjang melalui tempoh perjuangan.

Penghormatan yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada anak muda bagi memastikan kemenangan dalam perjuangan bukan sedikit. Bahkan boleh dikatakan dalam banyak pertempuran dan percaturan strategi, anak muda adalah dominan dalam gerakan-gerakan yang kritikal.

Rasulullah SAW sepanjang masa sentiasa memberi pengiktirafan yang cukup tinggi kepada setiap keupayaan dan kesungguhan anak-anak muda dalam perjuangan. Antara yang pernah diceritakan oleh Anas dalam hadith Riwayat Imam Bukhari, disebutkan bagaimana matinya Abu Jahal di tangan dua anak muda.

Ketika selesai perang Badar, Rasulullah SAW menanyakan para sahabat apa jadi kepada Abul Jahal? Lalu ibnu Masud mencari-cari jasad Abu Jahal. Sebaik menemukan jasad Abu Jahal, disampaikan berita kematian Abu Jahal kepada Rasulullah SAW.

Dalam perang tersebut, Abu Jahal telah dibunuh oleh pedang dari dua anak muda. Mereka ialah Muaz Ibn Amr Ibn Jumuh dan Muaz Ibn Afra.

Disebabkan kedua-dua mereka ini saling tidak mengenali Abu Jahal, sebaik bermulanya perang, mereka menanyakan sahabat-sahabat yang lebih dewasa siapakah antara tentera-tentera musyrikin tersebut Abu Jahal. Lalu mereka akhirnya ditunjukkan kepada Abu Jahal.

Diringkaskan cerita, sebaik berhadapan dengan Abu Jahal, kedua-dua anak muda yang berani dan bersemangat ini menetak pedang mereka ke tubuh badan Abu Jahal. Setelah dipastikan kematian Abu Jahal, mereka berdua pergi mendapatkan baginda Rasulullah SAW.

Sebaik bertemu baginda Rasulullah SAW, kedua-duanya mengaku bahawa mereka telah membunuh Abu Jahal. Setiap dari mereka mendakwa dialah yang membunuh. Ini sikap anak muda. Agresif dan sentiasa senang dengan penghargaan.

Baginda Rasulullah SAW lalu menanyakan di manakah pedang mereka berdua. Kedua-duanya lalu menunjukkan pedang masing-masing yang didapati oleh Rasulullah SAW masih berlumuran darah.

Rasulullah SAW kemudiannya memperakui bahawa mereka kedua-duanya adalah pembunuh Abu Jahal sekaligus telah berjasa kepada Islam.

Bahkan apabila kita mengimbau suasana getir ketika perang Ahzab, baginda Rasul Allah SAW amat menyantuni kerenah anak-anak muda ketika baginda sama-sama memecahkan batu dan menggali parit.

Terlebih awal dari itu, sirah telah menampilkan seorang anak muda Talut yang berjaya mengalahkan tentera Jalut. Talut seorang pemuda yang bukan kaya harta. Yang ada pada beliau adalah kekuatan fizikal dan kekuatan akal.

Suasana politik hari ini penuh cabaran. Apa yang kita tempuhi semalam tidak sekali-kali akan ditempuh lagi pada hari esok. Hari esok suasana tidak lagi sama.

Jadikanlah apa yang diajar Rasul ullah SAW sebagai panduan. Biasa-biasakanlah beri amanah baru kepada anak-anak muda. Biasa-biasakanlah anak muda bertempur dalam medan ini dengan nasihat dan naungan bermakna dari mereka yang lebih dewasa dalam langkahan perjuangan.

Masa ini masa terbaik untuk persiapkan pimpinan masa muka. Apatah lagi, perjuangan berasaskan al-Quran dan al-Sunnah sentiasa mendambakan usaha terbaik untuk raih anugerah terbaik iaitu redha Allah SWT.

Selaku umat Islam, kita bukan sekadar pengikut kepada pencetus pembaharuan. Jadilah kita peneroka langkahan yang sentiasa bersedia mencetus penambahbaikan.