KUALA LUMPUR: Pemuda Gerakan menyelar kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa yang memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap penjawat awam yang terlibat dengan himpunan Bantah GST di ibu negara Khamis lalu.
Menyifatkannya sebagai menentang prinsip demokrasi, ketuanya Tan Keng Liang menggesa Ali supaya tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan di tangannya sendiri dan membelakangkan Perlembagaan Persekutuan.
“Penjawat awam adalah rakyat Malaysia juga dan mereka tidak sepatutnya diancam dengan pemecatan atau penamatan perkhidmatan mereka hanya kerana mereka melakukan hak-hak mereka seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan," tegasnya.
Dalam pada itu, selain ancaman penamatan perkhidmatan, Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda pula melabelkan penjawat awam yang terlibat dengan himpunan itu sebagai pengkhianat. - HARAKAHDAILY 5/5/2014