Friday, May 23, 2014

Cerita ibu: Dyana, Karpal Singh dan UiTM

BETUL kata orang tua-tua, untuk mengenali anak, dekatilah ibu yang mengandungnya.

Itulah kaedah yang aku gunakan untuk mengetahui lebih lanjut tentang gadis Melayu pilihan DAP untuk menjadi calon Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.

Sebelum ini aku diceritakan oleh ibu Dyana, Yammy Samad tentang bagaimana beliau pernah bertekad dan berdoa agar anaknya ini yang ketika itu baru menjengah dunia 70 hari, akan bangkit melawan Umno.

(Antara gambar Dyana waktu kecil yang diikongsi ibunya kepada Harakahdaily)

Doa itu akhirnya termakbul pada usia Dyana 27 tahun, apabila anak perempuan tunggal itu benar-benar terjun dalam politik menjadi calon PRK Teluk Intan melawan BN.

Pertemuan kali kedua dengan makcik Yammy berlaku secara kebetulan ketika aku menikmati makan tengahari di sebuah restoran di Teluk Intan sejurus selesai penamaan calon 19 Mei lalu.

Ketika itu, aku baru sampai ke kedai itu lalu dipelawa bekas Ahli Parlimen Kota Bharu dari PAS, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (Cikgu Rahim) yang sedang makan semeja dengan keluarga Dyana, untuk duduk bersama.

"Assalamualaikum makcik, pakcik. Tadi kita dah jumpa waktu penamaan calon," aku memaklumkan.

"Sempat ke berbual dengan Dyana tadi," tiba-tiba celah si ibu.

"Tak sempat, nak masuk rapat pun tak boleh, ramai sangat orang berkerumun," jawabku dalam nada kecewa.

"Alang-alang dah jumpa pakcik dan makcik ni, tak jumpa Dyana pun tak mengapa dah," sambung saya memancing untuk perbualan panjang.

"Dengan mak ayah dia lagi banyak dapat korek rahsia," celah Cikgu Rahim sambil ketawa kecil.

Aku memulakan perbualan tentang mendiang Karpal Singh yang banyak disebut orang sebagai peguam yang dikagumi Dyana.

"Betul ke Dyana kagum dengan Karpal Singh," soalku mahukan kepastian.

"Dia memang minat Karpal sejak dulu lagi sebelum masuk Universiti teknologi Mara (UiTM)," ayahnya Mohd Daud Ismail mula membuka cerita.

"Pada awal beliau memasuki IPTA beliau ditawarkan ke UiTM Segamat dalam Pengurusan Bank, tetapi beliau tidak meminati jurusan tersebut," katanya. .

"Dyana telah membuat surat rayuan untuk memohon pertukaran jurusan dari pengurusan bank ke bidang perundangan," ibunya pula menyambung cerita.

"Tapi yang paling menarik apabila Dyana telah meletakkan nama Karpal Singh di dalam surat rayuan sebagai idolanya dan kenapa beliau mahu menukar jurusan".

"Surat tersebut dihantar kepada Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah ketika itu dan pertukaran itu diterima," jelas Yammy.

Menurut Yammy, Dyana menghormati Karpal kerana sikap mendiang yang tegas serta kepimpinan beliau dalam bidang perundangan yang dikagumi ramai.

"Ada orang kata Dyana masuk UiTM melalui pintu belakang, itu tak benar ia melalui cara yang betul," tegas ayahnya.

Di sinilah mereka berkongsi beberapa keping gambar Dyana sewaktu kecil kepada aku.

Panjang juga kami berbual sambil makan di situ. Banyak berkisar tentang Dyana dan bakat kepimpinan beliau.

Tidak semua aku mampu coretkan di sini. Dengan gambaran yang diberikan ibu dan bapanya, cukup bagi aku untuk mengagumi sosok tubuh kecil itu.

"Terima kasih makcik, pakcik dan datuk, nanti kita jumpa lagi untuk cerita-cerita yang lebih menarik," sambil bersalam aku memohon diri untuk menyiapkan kerja-kerja sebelum bertolak balik ke Kuala Lumpur.

Dyana Sofya yang menerima Ijazah sarjana Undang-undang pada tahun 2010 merupakan pelajar yang aktif dalam aktiviti falkulti termasuk menyertai Moot club (Kelab Mahkamah) UiTM serta Kelab Undang-Undang Alam Sekitar.

Ibunya dari awal lagi sudah melihat kecenderungan beliau dalam bidang politik dan memberi kebebasan sepenuhnya dalam untuk menentukan hala tuju politik beliau.

Untuk Dyana, ada rezeki kita jumpa di Parlimen. - HARAKAHDAILY