Sunday, May 4, 2014

Hudud: Apa nak jadi, pasti jadi

BIARLAH saya memulakan kolum ini dengan soalan ini. Apa pun sebab Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebelum PRU 14, siapa penggantinya? Hishammuddin Hussein, Zahid Hamidi atau Shafie Apdal? Ketiga-tiga Naib Presiden Umno. Pilihan timbalan perdana menteri adalah prerogative atau hak mutlak perdana menteri. Najib Tun Razak tidak mesti memilih naib presiden pertama atau kedua. Hussein Onn telah 'memilih' naib presiden ketiga iaitu Dr Mahathir Mohammad sebagai timbalannya bukan Ghafar Baba, naib presiden pertama atau Tengku Razaleigh Hamzah naib presiden kedua. Hussein telah memilih Ghulam (Ghazali Shafei), menteri dalam negeri juga seperti saya seorang anggota Majlis Tertinggi Umno sebagai timbalannya tetapi Hussein terpaksa akur kepada kehendak Majlis Tertinggi Umno terutama kepada ketiga naib presiden Umno. Ketiga-tiga naib presiden Umno telah memberi kata dua pada Hussein, dia mesti memilih antara mereka jika tidak seorang pun antara mereka akan menyertai Kabinet baharunya.

Berkenaan hudud, masakan DAP dan PKR tidak sedar atau buat tak tahu rakan mereka dalam Pakatan Pembangkang Pas - apa jadi pun - berhasrat membentuk sebuah negara Darul Islam di Malaysia? Kepada Pas, menganggotai pakatan pembangkang hanya satu jalan ke arah tiba ke destinasi atau targetnya. Kata seorang pemuda Pas, yang berpendidikan sekular, kepada saya: “whatever will be, will be, que sera, sera.” Perisytiharan Sultan Brunei bahawa Brunei mulai Khamis (1 Mei) melaksanakan hukum hudud secara berperingkat peringkat (tiga fasa) sudah tentu memperkukuhkan lagi azam Pas - lebih lagi optimis. Di Brunei, pelaksanaan perundangan syariah sepenuhnya dalam masa tiga tahun. Fasa pertama mengenakan denda dan penjara, kedua potong tangan dan sebatan; dalam fasa ketiga rejam sehingga mati. 

Waktu memimpin The New Straits Times, saya telah menulis dalam rancangan mingguan saya tentang “the Pas game plan" (8 Julai 2003) bahawa “the Pas plan is not just to win the game but to win in order to change the rules” seperti berlaku di Iran yakni menukarkan negara sekular kepada negara teokrasi Islam. Bagi DAP dan PKR, “there is no room under the Pas construct, apart from the soaking up of votes in a one-way ticket to victory in the elections.” Pakatan Rakyat memenangi banyak kerusi dalam PRU12 dan 13. Pada Pas, the best is yet to come yakni kemenangan terbesar menunggunya. 

Tidak seperti Brunei, saya kira, Pas akan melaksanakan hukum syariah from the word go setelah memerintah. Tetapi berperingkat-peringkat pada lokasi untuk menyenangkan hati DAP dan PKR. Hudud akan bermula di Kelantan kerana Pas akan terus menang di negeri itu; kedua di Terengganu, Kedah dan Perlis (Pas berharap merebutkan kembali Kedah dan Terengganu; cuba memenangi Perlis), peringkat ketiga di Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka dan peringkat terakhir di Johor, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah.
Bila ini berlaku terpulang kepada kerjasama erat Pas, dengan DAP dan PKR ataupun melalui perkongsian kuasa antara Umno dan Pas. Siapa kata politik Malaysia boring tidak mengenali pemimpin DAP, Pas, PKR dan Umno. MCA dan MIC boleh bercakap apa pun mereka mahu tetapi hakikat semasa kedua parti itu tidak lagi berpengaruh seperti sebelum 2008.

Benar, untuk melaksanakan hudud terdapat beberapa constraints juga halangan undang-undang atau constitutional hurdles; bisa dicabar di mahkamah berdasarkan ke Perlembagaan Persekutuan. Walaupun banyak halangan Pas mesti lalui semenjak 1993, Pas tetap tidak akan berubah dengan cita-citanya menjadikan Malaysia negara Darul Islam.
Suka-duka, ikutlah nasihat Speaking minggu lepas, “prepare yourself mentally for the coming of hudud”. Sama ada anda Islam atau bukan Islam sila renung sejenak... bermula dengan orang Islam selepas itu? Masakan satu undang-undang untuk orang Islam satu untuk bukan Islam? Di bawah undang-undang tiada diskriminasi, jenayah tetap jenayah tidak kira siapa yang melakukannya.

Sultan Brunei tegas, berani 

Saya sudah lama tidak melawat Brunei. Mulai teringin ke Brunei untuk melihat keberkesanan perlaksanaan hudud. Sultan Hassanal Bolkiah, 67, dan pemimpin terkanan dan terkemuka di Asean, berani, tegas tanpa ragu-ragu dan terganggu melaksanakan perintah ALLAH. Titah Baginda, tidak pernah memandang negatif tindakan pihak lain memilih pendekatan yang dirasai mereka sesuai dilaksanakan mereka. Baginda tidak berharap pihak lain atau kuasa lain menyokong keputusannya (hudud) hanya mengharap pihak lain memahami dan menghormati keputusan negaranya seperti Brunei, menghormati pihak lain. Ada negara amat suka dan amat sibuk menjaga tepi kain orang lain tetapi tidak menyedari karenah dan keburukan dalam negara mereka sendiri.

Camelot, hassanah

Camelot adalah idealisasi pentadbiran Presiden John F Kennedy; hassanah, tegas seorang pengikut tegar Najib, “is an idealisation of the administration of Prime Minister Najib Tun Razak”. Camelot, dalam cerita dongeng King Arthur atau legenda King Arthur, adalah sebuah kota di mana tinggal the Knights ot the Round Table. Camelot adalah satu evokasi (evocation) kecemerlangan, harapan, nilai murni dan keberanian serta ketabahan hati yang kononnya dimiliki oleh 'generasi baharu' yang mengambil alih pentadbiran Amerika daripada old guard di sekeliling Presiden Dwight Eisenhower. Era baharu itu kononnya bermula awal 60an. Sekarang legenda Camelot hanya ironi. Doa saya janganlah pula legenda hassanah menerima nasib yang sama dengan Camelot yang akhirnya juga jadi satu ironi. 

Satu renungan

Asalnya dari Gua Musang,
Ungai-ungai di atas bukit;
Macam dahulu juga sekarang,
Tidak berbeza barang sedikit.

Minum kopi taruh gula,
Kurang manis tambah susu;
Sudah gagal timpa bala,
Tak kena buat jadi gila.

Sinaran cahaya dicelah gunung,
Nampak jauh seperti permata;
Saya menangis anda termenung,
Mengenang nasib bangsa kita.

Kesimpulan kolum ini, adalah apa pun DAP, MCA, PKR lakukan, hudud akan tiba. Persoalannya bukan jika tetapi bila hudud menjadi sebahagian undang-undang dan kehidupan kita.