Sunday, May 4, 2014

Hudud: Pas yakin dapat sokongan

  • Hudud: Pas yakin dapat sokonganAhmad diiringi Hanifa (kanan) menyempurnakan simbolik perasmian Jambatan Kampung Pulau Kundur, semalam.
 1 / 1 
KOTA BHARU - Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob yakin sekurang-kurangnya majoriti mudah akan diterima daripada ahli Parlimen Islam apabila rang undang-undang persendirian dibentangkan di Parlimen, tidak lama lagi.

Katanya, walaupun mendapat sokongan ahli Parlimen Umno, Pas Kelantan masih perlukan empat ahli Parlimen dari parti lain bagi memastikan rang undang-undang itu diluluskan Parlimen, sekali gus membolehkan Kelantan melaksanakan hudud awal Januari depan.

“Dalam PR masih ada (ahli Parlimen), itu Pas dan Umno sahaja, PR ada, kita lobi lah. Usaha nak laksanakan undang-undang ciptaan ALLAH, saya rasa (sokongan) bukan Islam pun dapat, insya-ALLAH.


“Memang cukup untuk dapat majoriti mudah (112 undi), kita masih perlukan empat, jadi empat tu dalam pakatan kita ada ahli Parlimen Islam, jadi kita harapkan ahli Parlimen Islam memberi sokongan penuh," katanya.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Jambatan Kampung Pulau Kundur di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, Datuk Md Anizam Abdul Rahim dan Adun Kijang, Wan Ubaidah Omar.

Hanifa dalam ucapan aluannya berkata, jambatan bernilai RM3.6 juta ini akan memberi manfaat kepada 2,000 penduduk beberapa kampung, termasuk Kampung Pulau Kundur, Pantai Mek Mas dan Pantai Kundur.

Beliau berkata, dengan adanya jambatan tersebut dan dua lagi jambatan kampung berkenaan yang dijangka dinaik taraf bermula 2015 dengan kos kira-kira RM5 juta, ia bakal menarik kedatangan pelancong ke kawasan berkenaan sekali gus membantu meningkatkan pendapatan penduduk setempat.