Thursday, May 22, 2014

Khairy nak siasat sama ada samseng pemuda BN atau menyamar


TELUK INTAN:Pemuda Barisan Nasional akan menyiasat dakwaan calon DAP untuk pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud diganggu sekumpulan pemuda yang memakai baju Pemuda BN ketika berkempen di pasar malam Padang Tembak semalam.
    
Pengerusinya, Khairy Jamaluddin berkata siasatan itu bagi memastikan kumpulan yang mengganggu Dyana Sofya sebenarnya anggota Pemuda BN dan bukan individu menyamar dengan memakai baju sayap berkenaan. 
    
"Kita kena semak kesahihan dulu, sekiranya Pemuda BN, maka kita akan ambil tindakan," katanya semasa menjawab soalan pemberita berkaitan dakwaan sekumpulan lelaki yang memakai baju Pemuda BN dan menaiki motosikal membuat bising serta mengusik Dyana Sofya semasa berkempen di kawasan itu.
    
Khairy, yang juga Ketua Pemuda Umno, berkata demikian kepada pemberita semasa melakukan tinjauan mesra bersama calon BN Datuk Mah Siew Keong di tapak penjaja di Dataran Menara Condong malam ini.
    
"Sekiranya ada laporan polis, mereka akan selesaikan (perkara itu), tetapi oleh kerana ada gambar melibatkan baju Pemuda BN, kami akan turut melakukan siasatan kami sendiri," katanya.

Khairy turut mengingatkan Pemuda BN agar tidak mengganggu, mengacau serta bertindak liar semasa kempen PRK itu dan mereka harus bersikap matang.
    
Mengulas dakwaan pengundi muda lebih berminat memilih calon muda, beliau berkata tidak semestinya calon berkenaan akan mendapat sokongan golongan itu.
    
"Saya percaya anak muda melihat kepada kedudukan keseluruhan. Kita ada buat bancian dan dapati bahawa mereka ingin melihat pembangunan, peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan penyelesaian untuk masalah seperti perumahan dan kadar jenayah," katanya.
    
Beliau berkata jika itu keutamaan orang muda, adalah baik jika mereka mengundi calon yang mempunyai rekod baik serta hubungan rapat dengan kerajaan negeri dan pusat bagi memastikan harapan golongan berkenaan dapat dilaksana.
    
"Walaupun calon lawan muda tetapi tidak semestinya beliau dapat selesaikan masalah anak muda. Saya yakin bahawa mereka senang dengan calon anak tempatan," katanya.

Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata apa yang lebih penting ialah kemampuan seseorang itu melaksanakan tugas yang diamanahkan.
    
PRK kerusi Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mah dan Dyana Sofya.
    
Pengundian awal akan diadakan 27 Mei ini manakala hari pengundian ditetapkan pada 31 Mei. 
    
Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen berkenaan, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP, akibat barah pada 1 Mei lepas. - Bernama

Dua anggota kumpulan samseng dipercayai Pemuda BN memerah enjin motorsikal bagi mengganggu kempen bertemu pengundi calon DAP, Dyana Sofy