Wednesday, May 14, 2014

Krisis politik T’ganu: Umno jangan gertak atau sogok


KUALA LUMPUR: Umno BN diingatkan agar jangan sekali-kali menggunakan tindakan yang tidak demokratik untuk menyelesaikan kemelut politik yang berlaku di Terengganu sekarang, seperti intimidasi atau perbuatan menakut-nakutkan orang, gertak atau sogokan. 

Sebaliknya, Umno BN perlu bertindak 'gentleman' untuk menyelesaikan kemelut tersebut dengan melakukan tindakan yang menepati prinsip demokrasi yang diamalkan di negara kita.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, kerajaan BN Terenganu kini sudah hilang majoriti apabila tiga Adun Umno BN mengambil tindakan keluar daripada parti itu semalam dan hari ini. 

Menurutnya, Pakatan Rakyat negeri juga tidak mempunyai majoriti yang mempunyai 15 kerusi, 14 daripadanya dimiliki oleh PAS dan 1 PKR. 

Oleh kerana itu, kata beliau politik Terengganu sekarang menjadi tidak stabil. 

"PAS dan Pakatan Rakyat sedang mengikuti perkembangan ini dengan penuh cermat bagi melihat perkembangan selanjutnya," katanya.

Krisis Umno BN negeri itu bermula apabila Datuk Seri Ahmad Said meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar untuk memberi laluan kepada Adun Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman.

Ekoran itu, Ahmad yang juga Adun Kijal meletakkan semua jawatan dalam parti dan mengistihaykan sebagai Adun Bebas diikuti Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi).