Thursday, May 8, 2014

Anjur dialog bukan kebencian agama




KUALA LUMPUR: UiTM disaran menganjurkan seminar dialog antara agama yang menekankan prinsip-prinsip asas yang dikongsi bersama daripada menganjurkan program yang memomokkan agama lain, kata Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gelang Patah, Dyana Sofya.

Usaha mengadakan program dialog antara agama itu, ujarnya penting bagi meningkatkan kefahaman antara agama dan seterusnya mewujudkan perpaduan yang lebih utuh di kalangan rakyat.

Mengulas Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara yang berlangsung di UiTM Shah Alam 6 Mei lalu, beliau kesal kerana usaha UiTM untuk meningkatkan kefahaman dan menguatkan akidah umat Islam dibuat dengan memomokkan agama lain.

"Saya juga amat kesal kerana UiTM tidak mempertimbangkan perasaan mahasiswa, tenaga pengajar dan juga staf beragama Kristian yang berkhidmat di UiTM.

"Apakah perasaan mereka melihat universiti tempat mereka menuntut ilmu dan mencari sumber rezeki memburukkan agama mereka?" soal Dyana.
Beliau difahamkan bahawa mahasiswa UiTM yang mengikuti subjek Sejarah Malaysia dan Hubungan Etnik diminta hadir ke seminar tersebut dengan pelepasan kuliah.

Sebagai graduan UiTM, Dyana pada mulanya beranggapan bahawa seminar itu dibuat bagi membuka minda dan ruang perdebatan intelektual di antara peserta.

Namun sangkaan beliau meleset apabila mendapati kandungan seminar itu sarat dengan momokan terhadap agama Kristian.

"Buku khas terbitan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berjudul Pendedahan Agenda Kristian yang terkandung dakwaan evangelis dan helah Kristian untuk mempengaruhi umat Islam daripada kepercayaan mereka telah diedarkan kepada lebih 1000 mahasiswa yang mengikuti seminar tersebut.

"Buku tersebut menyalahkan Kristianisasi sebab utama berlakunya murtad di kalangan umat Islam," kata Dyana.

Tambah beliau, sebagai institusi yang banyak berjasa kepada bangsa Melayu dan Bumiputera, UiTM tidak seharusnya "berdiri serendah ini" demi untuk memuaskan hati golongan berfikiran sempit, penuh rasa kebencian dan sangat keterbelakang.

Menurut Dyana, Tunku Abdul Rahman sebagai Bapa Merdeka, pengasas Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Setiausaha Agung pertama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) telah menghantar ucapan tahniah kepada gereja St Andrew’s Presbyterian semasa sambutan jubli emasnya pada dekad 1960-an.

"Walaubagaimanpun hampir 50 tahun selepas itu, kita mula menuduh adanya ancaman Kristianisasi di kalangan umat Islam dan cuba mewujudkan ketegangan agama dan kaum, dan paling teruk dianjurkan oleh institusi pengajian tinggi yang disegani," katanya.

Beliau menyifatkan insiden ini sebagai sangat menyedihkan dan memburukkan nama baik UiTM.

Seminar yang berlangsung di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam itu dianjurkan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Warisan Ibnu Aaby dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dengan sokongan Utusan Malaysia, Kumpulan Karangkraf, TV Al-Hijrah, Zikay Group danPantai Bharu Group of Companies.

Dyana turut menyentuh kes seorang mahasiswa UiTM Sabah yang berdepan dengan tindakan disiplin digantung pelajaran kerana menulis membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di laman Facebook peribadi.

Pelajar terbabit, Mohd Fathihie Gadius didakwa melanggar Kaedah-Kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 kerana boleh menggalakkan perbuatan melanggar tatatertib, kekacauan, keengkaran di kalangan pelajar.

"Saya percaya sepatutnya penganjur Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara yang dikenakan tindakan sedemikian dan bukannya MohdFathihie yang hanya menyuarakan hak beliau sebagai rakyat Malaysia tanpa melanggar batasan kebebasan individu yang tertakluk di dalam Perlembagaan," katanya.

Seminar tersebut turut mendapat kritikan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dato’ Dr Mujahid Yusof.
Beliau menifatkan UiTM tidak banyak membantu memulihkan luka hubungan antara agama di negara ini malah menambah garam pada luka yang belum sembuh.

Dr Mujahid turut mempersoalkan motif penganjuran seminar itu kerana jika ia bertujuan mengukuhkan akidah umat Islam tidak bermaksud "kita diberi lesen untuk mengutuk agama lain". - HARAKAHDAILY, 8/5/14