Saturday, May 10, 2014

MCA Kelantan: 'Say No To Pas Hudud'

  • MCA Kelantan: 'Say No To Pas Hudud'MCA Kelantan sepakat menyatakan pendirian menolak hudud
 1 / 1 
KOTA BHARU - MCA Kelantan tetap dengan pendirian tidak menyokong pelaksanaan hudud di negeri ini, sekali gus membantah hasrat Pas membentangkan rang undang-undang itu ke Parlimen demi perpaduan kaum.

Timbalan Presiden MCA Kelantan, Tan Ken Ten mendakwa, Pas seolah-olah mahu memperdayakan pengundi Cina kerana pada sebelum PRU13, parti itu tidak menyentuh isu pelaksanaan hudud.

“Pas seolah-olah mahu menipu rakyat. Sebelum PRU13, Pas kata akan tubuh negara kebajikan untuk tingkat undi kaum Cina. Ramai yang percaya tetapi selepas pilihan raya berubah pula untuk bawa hudud.


“Dahulu masa pilihan raya, guna negara berkebajikan sebab itu dapat undi daripada bukan Islam.

“Kini kita sepakat tolak dan tidak akan beri sokongan dalam isu ini,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian pada majlis ‘Say No To Pas Hudud’ di sini, yang menyasarkan 3,000 orang menurunkan tandatangan sehingga 20 Mei depan.

Hadir sama, Pengerusi Wanita MCA Kota Bharu, Saw Ooi Leng.

Dalam pada itu, Ken Ten berkata, pihaknya sedar hudud hanya diguna untuk orang Islam tetapi undang-undang perlu terperinci kerana negara mempunyai masyarakat majmuk pelbagai bangsa dan agama.

“Ia juga boleh jadi kekeliruan, apa yang berlaku jika berlaku masalah membabitkan orang Islam dan bukan Islam, bagaimana nak selesaikan hal-hal keadilan.

“Malah ia juga bakal memberi kesan, persepsi orang luar pasti mereka tidak mahu datang ke negeri ini dan berkemungkinan jejas pelaburan,” katanya.

Ditanya mengenai penerimaan BN Kelantan mengenai penolakan MCA terhadap hudud, beliau berkata, ia memang menimbulkan konflik namun percaya ia dapat diselesaikan secara baik.

“BN menerima dengan terbuka tetapi kita hanya beritahu pendirian kita.

“Memang akan timbul konflik dan akan cuba selesaikan dalam masa terdekat," katanya.