Saturday, May 10, 2014

Nik Aziz harap hudud berjaya dilaksana

  • Nik Abdul Aziz Nik MatMursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
 1 / 1 
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap kerajaan Pas Kelantan berjaya melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) di negeri ini walaupun terdapat tentangan daripada pelbagai pihak.

Katanya, sejak rang undang-undang itu diumumkan untuk dibentangkan di Parlimen, pelbagai asakan negatif diterima, namun itu bukan halangan untuk hukum tersebut dilaksanakan.

“Kita doakan hudud ini berjalan dengan molek (lancar). Kalau gagal, boleh jadi satu punca, iaitu takwa kepada ALLAH tidak ada.


"Islam ini, solat ke, hudud ke, kahwin dan cerai ke, mesti berangkai dengan takwa kepada ALLAH,” katanya dalam ceramah mingguan di Dataran Ilmu di sini, hari ini.

Menurutnya, hukuman sivil yang diguna pakai di Malaysia sekarang ini tidak mempunyai kesan kepada penjenayah, terutama melibatkan kes yang boleh dikenakan hukuman ke tali gantung.

Beliau menyifatkan anggapan sesetengah golongan akademik bahawa hukum hudud tidak akan dapat dilaksanakan, sebagai tidak waras.

“Baru-baru ini ada pensyarah universiti kata hudud ini gagal kerana negeri yang buat hudud ini sudah gagal semua.

"Pensyarah seperti ini bukannya jenis nak hidupkan Islam. Dia berfikir cara manusia, bukan cara ALLAH.

“Kita solat kerana apa? Solat ini boleh menyekat manusia daripada membuat perbuatan keji. Sekarang ini walaupun solat, judi tetap ada, ertinya solat itu gagal, gagal kerana kita masih lagi berjudi.

Kes dadah, kes rasuah (masih banyak), maka tak payah solatlah, (kerana) kalau solat pun ada juga perkara mungkar,” katanya.