Wednesday, May 21, 2014

PAS segeralah layan Gerakan

KUALA LUMPUR - Isu pelaksanaan hukum hudud yang kembali hangat diperkatakan hanyalah tidak lebih daripada agenda politik dan gimik murahan Pas Kelantan.

Blogger terkenal, Mohd Sayuti Omar mendakwa, isu hudud kembali segar dalam politik Malaysia apabila ia menjadi 'buah tangan' Datuk Ahmad Yakob selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan baharu.

"Hudud bukan bermula daripada ucapan Menteri Besar Kelantan, tetapi ia dicetuskan oleh Datuk Husam Musa menggesa hudud dilaksanakan segera.

"Kalau Husam tidak bangkitkan isu ini dan dicabar, ia tidak mungkin timbul malah ia disahut Ahmad Yakob yang berjanji akan letak jawatan jika hudud tidak terlaksana," katanya dalam Wacana Perdana Hudud bertajuk 'Ke Manakah Kelantan' di ibu negara, malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohd Sayuti turut mempersoalkan keikhlasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Besar Kelantan yang bersedia bekerjasama dalam menubuhkan jawatankuasa teknikal mengenai hudud sebelum dibentangkan di sidang Dewan Rakyat, bulan depan.

Tambah Mohd Sayuti, beliau mengesyaki Pas Kelantan cuba mengalihkan isu kepincangan pentadbiran lalu dengan menjaja pelaksanaan hudud dengan harapan dapat melindungi kelemahan pentadbiran kerajaan negeri.

"Dulu Kelantan sibuk hendak bangunkan stadium, lebuh raya, kampung baru dan sebagainya, tetapi bila naik kepimpinan baharu, mereka tiada idea jelas malah gagal menjuarai isu rakyat.

"Sekarang pula hudud ditangguhkan, ini menggambarkan Pas tidak serius laksanakan hudud," katanya.

Beliau memberi jaminan hudud tidak mungkin dilaksanakan di Kelantan selagi mana Perlembagaan tidak dipinda dan tiada pihak yang bersungguh untuk melaksanakannya.

"Saya rasa bukan Islam tidak perlu takut dengan hudud sebab Islam tidak pernah zalim.

"Hudud hampir 100 peratus tidak akan menjadi kenyataan sehingga Perlembagaan dipinda kerana ia perlu sokongan dua pertiga ahli Parlimen," katanya lagi.