Wednesday, May 28, 2014

PAS Tak Rasa Hipokrit Sokong Calon Anti Hudud



TELUK INTAN: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata PAS tidak terdesak seperti mana yang diperkatakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, ujar beliau Muhyiddin yang berada dalam keadaan terdesak untuk mencari sokongan pengundi Melayu apabila melihat PAS memberi sokongan penuh kepada calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat, Dyana Sofya Mohd Daud pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.

"PAS nak terdesak buat apa, bukan PAS yang bertanding, kalau kita yang bertanding baru boleh anggap kita terdesak," jelasnya kepada Harakahdaily.

Muhyiddin dalam satu kenyataan berkata PAS menyokong kempen calon DAP adalah disebabkan desakan politik meskipun ternyata calon itu menolak hudud.

"Kita sokong DAP atas prinsip tertentu seperti menentang rasuah, membela hak rakyat serta melawan penyelewengan.

"Seperti mana pesanan Presiden PAS, kita sokong atas dasar perjuangan Pakatan Rakyat, kita bekerjasama kerana banyak persamaan antara pendirian PAS dan DAP," jelas beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut berpendapat bahawa Muhyiddin sendiri keliru dengan beranggapan PAS yang bertanding di Teluk Intan.

"Sebab yang bertanding itu dari calon Melayu, mungkin Muhyiddin kabur ingatan bahawa PAS yang bertanding," katanya. - HARAKAHDAILY