Sunday, May 11, 2014

Pemilihan PKR Kuala Selangor ditunda

PKR Poll
KUALA SELANGOR: Pemilihan jawatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Kuala Selangor hari ini ditunda ke suatu tarikh yang belum ditetapkan berikutan dakwaan bahawa proses pengundian dicemari perkara di luar peraturan.

Proses pemilihan itu, yang bermula  kira-kira 8.30 pagi, dibatalkan pada 1.45 tengah hari selepas beberapa anggota parti membuat bantahan berhubung  cara ia dikendalikan, termasuk dakwaan ada wakil calon menandakan kertas undi yang
sepatutnya ditanda pengundi sendiri.

Pengumuman mengenai pembatalan proses pengundian itu dibuat oleh Arshad Abu Bakar, calon yang bertanding jawatan timbalan ketua PKR cabang Kuala Selangor, di pusat pengundian di Bestari Jaya di sini.
Dalam pemilihan sengit itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berdepan satu lawan satu dengan bekas Anggota parlimen Kapar S. Manikavasagam bagi jawatan ketua cabang PKR Kuala Selangor.
Menurut V. Bobinath, calon yang bertading jawatan naib ketua cabang itu,  namanya tidak terdapat dalam senarai calon di pusat pengundian itu.
“Saya terkejut kerana pada hari pencalonan, nama saya ada di dalamnya, tapi hari ini, nama saya hilang secara misteri,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, dalam reaksi segera beliau mengenai pembatalan pemilihan itu, Abdul Khaid memohon maaf kepada anggota PKR berhubung kegagalan proses pemilihan di cabang berkenaan.
Melalui laman Twitternya, Abdul Khalid berkata PKR perlu melakukan transformasi menyeluruh berikutan wujudnya pelbagai dakwaan berhubung sabotaj dan cara pengendalian pemilihan yang tidak telus.
Terdahulu, beliau menafikan wujud pembelian undi seperti yang didakwa Manikavasagam.
Manikavasagam mendakwa beliau memiliki rakaman video yang menunjukkan Abdul Khalid, melalui pegawainya, membayar sehingga RM50 untuk membeli undi.
“Saya ada bukti dalam bentuk rakaman video (mengenai politik wang) dan saya akan memuat naiknya tidak lama lagi. Saya menerima aduan bahawa pemilih diberi rasuah RM30 untuk memberi undi kepada calon yang bertanding bagi jawatan di peringkat kebangsaan dan RM20 bagi jawatan ketua cabang Kuala Selangor,” dakwa Manikavasagam.
Di SABAK BERNAM,  proses pemilihan PKR Cabang Sabak Bernam hari ini turut kecoh apabila penyokong calon-calon yang bertanding bertikam lidah dan memaki hamun antara satu sama lain sehingga hampir berlaku kejadian tumbuk-menumbuk.
Kekecohan berlaku di Pusat Mini Konvensyen Sabak Bernam di sini selepas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) memutuskan untuk membatalkan proses pemilihan pada 1 tengah hari dan menangguhkannya ke tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Keputusan dibuat berikutan tiga daripada empat calon Ketua Cabang Sabak Bernam tidak berpuas hati kerana mendakwa terdapat unsur penipuan dalam pemilihan itu.
Dalam kekecohan itu, seorang lelaki dipercayai penyokong seorang daripada calon cuba memukul seorang penyokong lain menggunakan kayu tetapi dapat dileraikan oleh orang ramai dan kayu itu kemudian dirampas oleh anggota polis yang bertugas.
Kaum wanita tidak terkecuali apabila berlaku tarik menarik baju di antara seorang petugas pemilihan dengan seorang anggota parti.
Walaupun dapat dileraikan, kedua-dua wanita itu terus menunjukkan isyarat lucah antara satu sama lain dengan diselangi aksi meludah ke tanah.
Bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Abdul Aziz Bari yang merupakan calon ketua cabang mendakwa ada calon turut berada dalam dewan mengundi dan dilihat cuba mempengaruhi pengundi.
“Calon itu cuba membantu anggota parti yang kurang upaya dan buta huruf untuk buang undi. Saya dan dua lagi calon berpendapat perkara seperti ini tidak wajar berlaku lalu kami membuat aduan kepada pegawai pemilihan,” katanya kepada  pemberita.
Abdul Aziz berkata beliau percaya kekecohan berlaku disebabkan kelemahan dalam sistem pemilihan baharu yang diperkenalkan oleh PKR iaitu pegawai pemilihan tidak mengenali calon yang bertanding.
Perkara itu menyebabkan calon  berlegar-legar di dalam dewan sehingga boleh mendekati pengundi, katanya yang merupakan calon PKR Sabak Bernam pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Pemilihan untuk jawatan Ketua Cabang menyaksikan Abdul Aziz ditentang tiga calon lain iaitu Timbalan PKR Cabang Sabak Bernam Abdul Talib Bujang, bekas Setiausaha Cabang PKR Sabak Bernam Anuar Mujhir dan seorang pemandu kereta sewa Abdul
- Bernama