Monday, May 26, 2014

Penyokong BN, PR bertegang urat

  • Berlaku kekecohan di Dataran Menara Condong namun ketegangan dapat diredakan pihak berkuasa.Berlaku kekecohan di Dataran Menara Condong namun ketegangan dapat diredakan pihak berkuasa.
 1 / 1 
TELUK INTAN - Program Sepetang Ber’selfie’ bersama calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di Dataran Menara Condong di sini semalam, kecoh susulan provokasi dicetuskan penyokong kedua-dua parti bertanding.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, kekecohan mula tercetus apabila seorang daripada puluhan penyokong sebuah parti melemparkan kata-kata berunsur sindiran kepada penyokong lawan.

Kata-kata itu kemudiannya dibalas menyebabkan suasana tenang bertukar kecoh.

Bagaimanapun, ketegangan itu dapat diredakan oleh pihak polis yang berkawal di tempat program berlangsung.

Komandan Pasukan Cantas, Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, ketika kejadian, anggota polis sedang melakukan rondaan di sekitar kawasan berkenaan sebelum dimaklumkan mengenai kekecohan membabitkan kedua-dua parti tersebut.

Menurutnya, empat pasukan membabitkan 20 anggota polis segera ke tempat kejadian bagi  menenangkan keadaan kedua-dua pihak yang berada di sekitar kawasan berkenaan.
“Kami segera mengawal keadaan daripada bertukar menjadi lebih buruk.

"Bagaimanapun tiada masalah serius berlaku, cuma sedikit salah faham berlaku antara kedua-dua pihak terbabit,” katanya ketika ditemui semalam.

Dyana Sofya dan Nurul Izzah dilihat meninggalkan pekarangan Menara Condong Teluk Intan kira-kira jam 5.10 petang.

Sementara itu, aktivis Buku Jalanan Seri Manjung, Ismady Radzuan berkata, kumpulannya tiada sebarang kaitan dengan BN atau pembangkang.

Menurutnya, Program Buku Jalanan Seri Manjung dan Teluk Intan yang diadakan semalam adalah untuk menyambut ulang tahun pertama aktiviti tersebut.

“Konsep perpustakaan jalanan yang diketengahkan ini membolehkan masyarakat daripada pelbagai lapisan umur untuk menyertainya.

“Kami ada menjemput calon-calon bertanding di PRK Teluk Intan untuk memeriahkan sambutan ulang tahun pertama program ini memandangkan aktiviti dianjurkan bukan bersifat politik sebaliknya untuk masyarakat,” katanya.