Friday, May 2, 2014

PKR sangkal seleweng tabung parti

  • AzmanAzman
 1 / 2 
ALOR SETAR - PKR Kuala Kedah menyangkal laporan sebuah laman blog yang mendakwa berlaku penyelewengan terhadap pengurusan tabung milik parti itu semasa pentadbiran Pakatan Rakyat.

Berdasarkan laporan yang disiarkan, beberapa nama individu turut dikaitkan dengan isu berkenaan.

Difahamkan, jumlah keseluruhan wang tabung yang diselewengkan mencecah RM30,400 iaitu wang hasil kutipan sumbangan daripada ahli Majlis Ketua Kampung (MKK) sebanyak RM50 dan RM100 dari wang elaun yang mereka peroleh sebagai MKK.

Ketua cabang PKR Kuala Kedah, Dr Azman Ismail berkata, penubuhan kelab MKK itu dibuat atas inisiatif ahli-ahli PKR yang menjadi MKK dalam kawasan Kuala Kedah.


“Kelab itu dianggotai oleh 15 orang ahli dan penubuhan kelab tidak mempunyai kaitan langsung dengan pengurusan peringkat cabang PKR atau Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

“Mereka mewujudkan tabung kelab untuk menjaga kebajikan ahli dengan memberi sumbangan kepada ahli yang sakit atau meninggal,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Azman berkata, selain untuk kepentingan ahli, kelab itu secara sukarela turut membantu memberi sumbangan kepada pentadbiran PKR negeri.

“Kita di peringkat cabang tidak menerima sebarang aduan mengenai isu itu. Jumlah wang RM30,400 itu besar nilainya sedangkan ahli kelab hanya 15 orang, bagaimana boleh mencecah sebanyak itu.

“Difahamkan kutipan wang hanya dibuat tiga bulan sekali, iaitu selepas ahli menerima elaun MKK RM350. Jumlah kutipan juga tidak banyak serta tidak melebihi kadar elaun diterima,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh beberapa tahun kelab itu bergerak aktif beliau hanya memantau sahaja aktiviti tanpa melibatkan diri secara langsung dalam pengurusan kewangan kelab.

“Bagi perbelanjaan yang mencecah nilai ribuan ringgit mereka akan maklum pada saya.

“Antaranya perbelanjaan RM1,600 untuk menampung perbelanjaan pengurusan Majlis Himpunan Negeri,” katanya.

Beliau berkata, kelab itu dibubarkan setelah pentadbiran kerajaan negeri bertukar tangan dari PR kepada BN.

“Dakwaan penyelewengan itu juga tidak ada bukti yang jelas,” katanya.