Friday, May 9, 2014

Post Mortem Anti GST - Apa Kejayaan Yang Dapat Diraih?


Sudah hampir 2 minggu sejak Kuala Lumpur digegarkan dengan himpunan membantah GST yang dianjurkan Pakatan Rakyat melalui pelbagai NGO yang bernaung dibawahnya.

Paling tidak, seramai 500,000 orang rakyat dikesan membanjiri kawasan sekitar Dataran Merdeka untuk menunjukkan bantahan perlaksanaan GST oleh pentadbiran Najib kerana banyak kajian menunjukkan cukai itu boleh membebankan rakyat.

Yang kaya akan menjadi miskin dan yang miskin akan menjadi kedana.

Ini kesan GST yang kita lihat berlaku di lebih 160 negara di dunia yang mengamalkan sistem tersebut, termasuk negara jiran, Singapura yang telah melaksanakan GST sejak pertengahan 90-an lagi.  Sudah tentu kita tidak mahu melihat kesan sama berlaku ke atas rakyat kita.

Tapi, selepas rakyat turun secara beramai-ramai memenuhi kawasan sekitar Dataran Merdeka untuk membantah perlaksanaan GST ini, apakah kejayaan yang setakat ini telah berjaya penganjur capai?

Himpunan 1 Mei lepas memang diakui berjaya dari jumlah rakyat yang hadir, tapi dari satu segi yang lain, ia tidak langsung memberi kesan kepada kerajaan BN.  Jangan kata nak menarik semula keputusan untuk melaksanakan GST, kempen mengenainya semakin rancak dijalankan.

Apatah lagi, tindakan media pro UMNO menemubual 'peserta' himpunan GST yang hadir pada hari berkenaan mendapati, hampir kesemua dari mereka tidak faham pun apa GST tu yang sebenarnya serta bagaimana ia boleh menjejaskan rakyat.



Maka itu, Pakatan Rakyat telah mengarahkan Pengerusi Himpunan Anti GST, Haji Mohamed Sabu agar mengadakan semula rapat umum membantah perlaksanaan GST ini dengan lebih kerap.

Selain dapat memberi penjelasan yang lebih jelas kepada rakyat kenapa mereka mesti menolak GST, ruang dan peluang untuk mengadakan himpunan tersebut juga dapat dijadikan asas untuk mendesak kerajaan membatalkan perlaksanaan sistem percukaian yang jelas menekan rakyat itu.

Dari jumlah peserta yang hadir pada 1 Mei lepas, Pakatan Rakyat yakin jumlah yang sama dapat dikekalkan sekiranya himpunan berkenaan diadakan pada tiap-tiap hari atau seminggu sekali.

Seperkara lagi, tak perlulah tunggu cuti umum atau cuti hujung minggu untuk mengadakan himpunan kerana rakyat sudah jelak hidup menderita dibawah pentadbiran BN dan bersedia hadir meramaikan himpunan sedemikian pada bila-bila masa jika diarahkan.

Ambil contoh pelbagai himpunan yang diadakan di Thailand, Mesir dan sebagainya, adakah mereka ini menunggu sehingga hujung minggu atau cuti umum untuk berdemonstrasi?