Wednesday, May 7, 2014

Sejarah Melayu Melaka bukti hudud gagal

Faizal Musa aka Faisal Tehrani
BANGI:  Menurut seorang tokoh akademik, Sejarah Kesultanan Melayu Melaka membuktikan hudud gagalmencegah jenayah dan rasuah yang berleluasa.

“Hudud diterapkan di dalam Hukum Kanun Melaka semasa pemerintahan Sultan Alaudin Riayat Syah.
“Terdapat peningkatan kadar jenayah dan rasuah meskipun hudud dilaksanakan dan ini seterusnya menyumbang kepada kejatuhan empayar Kesultanan Melayu Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511,” kata Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu, Dr Faizal Musa (gambar).

Beliau berkata sedemikian semalam dalam satu temuramah eksklusif ketika ditanya berkenaan sejarah pelaksanaan hudud di Tanah Melayu.
Isu pelaksanaan hudud menjadi bual bicara banyak pihak ekoran rancangan kerajaan Kelantan yang ingin melaksanakan hudud menjelang akhir tahun ini.
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub dari PAS menyatakan bahawa dua usul rang undang – undang persendirian akan dibentangkan seawal bulan Jun untuk melaksanakan hudud di Kelantan.
Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah dua rang undang – undang tersebut akan membolehkan pembentukan Mahkamah Syariah Khas dan Mahkamah Rayuan Syariah Khas dengan sejumlah lapan hakim.
Kelantan telah meluluskan Enakmen Undang- undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 untuk hukuman hudud di peringkat negeri tetapi tidak menguatkuasakannya.
Kerajaan persekutuan yang diterajui Umno pula menubuhkan jawatan kuasa teknikal hudud melibatkan pakar tempatan dan antarabangsa untuk mengkaji pelaksanaan hudud.
Faizal turut menjelaskan bahawa hudud yang dilaksanakan ketika itu ialah hudud Melayu.
“Hukuman yang dikenakan ke atas pesalah mempunyai elemen Melayu yang tinggi lantas menyebabkan tahap penyeksaan yang lebih tinggi.  Contohnya,  penyeksaan menggunakan tempurung kelapa. Ia lebih kejam,” kata beliau.