Friday, May 2, 2014

Suhakam puji himpunan anti-GST

suhakam logoPETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memuji pengendalian aman bagi himpunan anti-GST di sekitar jalan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur semalam.
Menurut Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam, perkara ini dilihat sebagai satu hasil positif daripada kerjasama baik dalam kalangan penganjur perhimpunan, peserta dan pihak berkuasa.
Jelasnya lagi, suruhanjaya turut memuji pihak polis dan penganjur atas hubungan kerjasama positif mereka menerusi satu siri dialog yang telah diadakan sebelum perhimpunan.

Ujar beliau lagi, dialog tersebut telah membawa kepada persetujuan kedua-dua pihak dalam beberapa aspek utama yang berkaitan dengan perhimpunan, terutamanya persetujuan polis untuk penganjur menggunakan jalan raya berhampiran Dataran Merdeka walaupun dataran tersebut ditutup untuk kerja naik
taraf.
“Suruhanjaya sangat berbesar hati memerhatikan bahawa tiada Unit Simpanan Persekutuan (FRU) digunakan sewaktu perhimpunan tersebut dan jalan-jalan utama dan stesen pengangkutan awam juga tidak ditutup,” ujarnya dalam satu kenyataan media.
Katanya, pihak polis, dengan bantuan marshal penganjur, telah berjaya memudahcarakan kawalan lalu lintas dan pergerakan orang ramai sepanjang perhimpunan tersebut bagi memastikan peserta perhimpunan boleh bergerak dari semua lokasi tanpa sebarang kesulitan.
Bahkan katanya lagi, suruhanjaya juga berbesar hati dengan pembaharuan positif dalam profesionalisme pihak polis dan pihak berkuasa yang lain dalam mengendalikan perhimpunan awam seperti yang ditunjukkan menerusi Himpunan Kebangkitan 1 Juta Rakyat dan perhimpunan anti-kenaikan harga serta perhimpunan hari ini.
“Suruhanjaya mengalu-alukan kerjasama berterusan, persefahaman dan rasa hormat dalam perhimpunan aman di masa hadapan ke arah memastikan hak asasi rakyat untuk kebebasan berhimpun dapat dipelihara sepenuhnya pada setiap masa,” ujarnya.