Thursday, May 22, 2014

Sultan Pahang masih perlukan Adnan Yaacob

puzi
PETALING JAYA: Pertukaran menteri besar yang digembar-gemburkan akan berlaku di Pahang tidak mungkin jadi kenyataan selagi Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah masih memerlukan Datuk Seri Adnan Yaacob memimpin kerajaan negeri.

Menurut sumber, Sultan Pahang amat menyenangi ADUN Pelangai itu walaupun beliau sudah lima penggal menjadi menteri besar sejak tahun 1995.
Sumber itu menambah jika benar berlaku pertukaran menteri besar, bukan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Datuk Shakar Shamsuddin yang akan mengambilalih tenpat Adnan Yaacob.

Sebaliknya, sumber itu menambah, ADUN Peramu Jaya, Sheikh Mohmed Puzi Sheikh Ali (gambar)  dikatakan akan menjadi pilihan istana jika Adnan berundur.
Sheikh Puzi yang juga bekas Setiausaha Sulit Kanan Datuk Seri Najib Tun Razak di Kementerian Kewangan jika dilantik menteri besar akan memudahkan lagi Najib kerana perhubungan baik di antara mereka berdua.
Sumber itu menambah Shakar yang juga ADUN Lanchang tidak rapat dengan istana maka beliau bukan pilihan utama untuk menggantikan Adnan Yaacob.
Adnan disebut-sebut sebagai menteri besar kedua yang akan ditukarkan selepas Datuk Seri Ahmad Said meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu pada 12 Mei lalu.
Di Pahang, sesiapa yang mendapat perkenan istana yang biasanya dilantik menteri besar kerana pernah berlaku Sultan Pahang memecat Datuk Rahim Bakar pada tahun 1980 apabila pihak istana tidak menyenangi menteri besar pilihan Perdana Menteri.