Friday, May 30, 2014

Tawar menteri: Jangan terpedaya taktik BN - Salahuddin


KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan janji jawatan kabinet kepada Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong jika menang pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan sebagai tindakan terdesak BN.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, janji yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam itu tidak lebih sekadar mahu mengumpan pengundi.

"Ini tindakan terdesak PM untuk mengumpan di saat akhir untuk selamatkan parti yang telah lumpuh di persada politik negara.

"Jangan terpedaya dengan taktik perdana menteri ini," katanya kepada Harakahdaily.

Salahuddin yang juga Pengarah Induk PAS PRK Teluk Intan itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Najib berhubung tawaran itu semalam.

Najib ketika bercakap kepada pemberita di Beijing semalam berkata Mah akan dilantik sebagai menteri kabinet jika menang pada PRK itu.

Mengulas lanjut, Salahudin mempersoal, jika Mah benar-benar berwibawa dan penting pada BN, kenapa sewaktu dua penggal menjadi ahli parlimen itu sebelum ini, beliau tidak dilantik menjadi menteri.

"Apa yang kita nampak, tawaran ini bukan atas wibawa Mah, tetapi mahu memancing undi dan mahu menyelamatkan nyawa Gerakan," kata beliau.

Mah sebelum ini dua penggal menjadi ahli parlimen Teluk Intan selepas menang kali pertama pada Pilihan Raya Umum 1999 dan mengekalkan kemenangan pada PRU 20014 sebelum tewas pada PRU 2008 dan 2013. - HARAKAHDAILY