Pengundi di Teluk Intan yang masih ragu-ragu untuk memangkah parti mana satu dalam pilihanraya kecil Teluk Intan yang hari pengundiannya akan berlangsung esok, diminta untuk memilih DAP sebagai mengenang jasa dan pengorbanan mendiang Karpal Singh.
Karpal, semasa hayatnya, bersama pemimpin-pemimpin DAP yang lain telah banyak membawa perubahan kepada politik di negara ini, Teluk Intan juga tidak terkecuali.
Maka itu tidak hairanlah kenapa setelah mendiang pergi, pengundi Bukit Gelugor tidak berganjak dari memberi sokongan kepada DAP apabila anaknya yang juga calon bagi kawasan itu, memperolehi lebih 37,000 majoriti undi mengalahkan 3 calon yang lain.
Pengundi di Teluk Intan juga seharusnya mengikut jejak langkah yang sama kerana adalah menjadi hasrat dan impian mendiang Karpal yang mahu satu hari nanti, Malaysia ini akan berjaya juga akhirnya diperintah oleh DAP dan Pakatan Rakyat.
Dan mengekalkan Teluk Intan selamanya menjadi kerusi DAP, boleh merealisasikan hasrat yang tidak pernah mendiang capai.
Walaupun kita akui, dalam keadaan sekarang calon DAP, Dyana Sofya Daud tidak mempunyai keupayaan dari segi membawa kemajuan kepada rakyat di Teluk Intan jika menang, tapi itu bukan isu penting kerana kerajaan negeri sedia ada pasti tidak akan meninggalkan terus Teluk Intan.
Pembangunan dan peluang pekerjaan masih akan datang kerana Teluk Intan adalah satu kawasan parlimen yang agak besar dengan lebih 60 ribu pengundi.
Takkan kerana marah rakyat kerana memilih DAP, kerajaan negeri Perak nak mensabotaj ekonomi rakyat Teluk Intan demi memastikan mereka memilih BN dalam pilihanraya yang akan datang? Sudah tentu tidak.
Jadi apa nak dibimbangkan? Sekurang-kurangnya dengan mengekalkan DAP sebagai wakil rakyat, bantahan terhadap perlaksanaan hudud yang dijuarai mendiang Karpal selama ini akan terus kuat di Parlimen kalau Dyana menang.
Berbeza keadaannya kalau BN menang, Gerakan hanya mempunyai 2 kerusi parlimen, campur dengan MCA, 7 sudah jadi 9 kerusi. Jumlah ini jauh lebih rendah berbanding 88 ahli Parlimen BN dari UMNO yang telah sebulat suara setuju supaya hudud dilaksanakan di Kelantan sebelum diperluas ke negeri-negeri lain.
Maka itu, bagi memastikan wasiat dan peninggalan Karpal menjadi kenyataan, DAP mesti menang dalam pertandingan esok, tidak ada pilihan lain. Jika DAP kalah, selamanyalah rakyat Teluk Intan dilihat sebagai pengkhianat kerana tidak menghormati mendiang Karpal.
Ramai orang yakin, Karpal akan berdoa dari syurga supaya DAP terus menang dalam pengundian yang dilangsungkan hari esok, apatah lagi selepas belajar dari kempen PRK Bukit Gelugor yang lepas, semua orang tak kira kaum dan agama, adalah Karpal Singh.