Thursday, May 29, 2014

Tolak perkauman dan amalan jahiliah

ANTARA pembaharuan yang ingin dibawa oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat dalam arena politik negara ialah menolak politik perkauman dan mengamalkan politik yang bertunjangkan keadilan dan nilai-nilai sejagat. Setiap parti dalam Pakatan Rakyat sama sekali tidak mengamalkan politik berteraskan kaum atau kepuakan.

Apatah lagi bagi Parti Islam Semalaysia, PAS. Perkauman bukanlah asas kepada perjuangan melainkan Islamlah yang menjadi teras dalam setiap langkahan.

Menolak perkauman bukanlah perkara yang sekadar sambil lewa. Ia adalah amalan jahiliah yang amat dibenci oleh Rasulullah SAW yang tercinta. Ia tergambar bagaimana sabda baginda dalam satu kisah yang diceritakan oleh Jabir RA.

Menurut Jabir RA, beliau pernah mengikuti baginda Rasulullah SAW dalam suatu peperangan al-Muraisi', yang juga disebut sebagai peperangan bani al-Mustaliq. Peperangan ini berlaku pada tahun 6 hijrah.

Dalam peperangan ini, ramai sekali kaum muslimin daripada golongan Muhajirin yang turut serta. Antara mereka termasuklah seorang sahabat yang amat terkenal dengan gurau senda yang sedikit kasar. Jahjah al-Qis al-Ghifari - diceritakan seorang sahabat yang suka bergurau yang kadang kala kasar dan mendatangkan kemarahan. Beliau juga adalah seorang yang bekerja dengan sahabat, Saidina Umar al-khatab RA.

Pada satu masa, Jahjah telah bergurau dengan mencucuk dari belakang seorang sahabat dari kaum Ansar yang bernama Sinan bin Wabrah. Sinan merasa marah dengan gurauan Jahjah yang dirasakan kasar. Maka berlakulah pertelingkahan yang akhirnya menarik perhatian kaum muslimin yang lainnya.

Dalam suasana kecoh itulah terdengar seruan yang bersifat kepuakan. Terdengarlah laungan “Wahai sekalian kaum Muhajirin” di satu pihak, dan “Wahai sekalian kaum Ansar” pada pihak yang lain. Masing-masing cuba meniuap api perkauman dan kepuakan bagi membela Jahjah dan Sinan yang sedang bertelingkah.

Dalam masa kecoh itulah baginda Rasulullah SAW mendatangi mereka setelah baginda terdengar keriuhan seruan “Muhajirin” dan “Ansar”. Sebaik berada di tengah-tengah mereka, baginda bersabda yang mafhumnya “Apakah seruan yang kalian laungkan ini? Ia amat busuk dan menjijikkan”.

Sebaik mendengar tegahan daripada baginda Rasulullah SAW tersebut, baru mereka tersedar sikap keterlaluan mereka yang terbawa-bawa sifat jahiliah yang telah ditinggalkan. Perhatikan, kaum Muhajirin dan Ansar adalah kedua-duanya berbangsa arab. Mereka hanya melaungkan kata-kata yang bersifat kepuakan dan kelompok. Hal yang sedemikian telah disifatkan oleh baginda Rasulullah SAW sebagai busuk dan menjijikkan.

Apatah lagi seruan “bangsa” sebagaimana yang dilaung-laungkan dan dibangga-banggakan seperti hari ini. Bahkan ia lebih buruk apabila satu kaum mencela, mencerca dan mempersoalkan kaum yang selain daripada mereka.

Amalan perkauman dan kepuakan adalah amalan jahiliah. Islam menolak sama sekali perjuangan atas prinsip bangsa dan puak. Seruan Islam hanya satu iaitu berpadu atas prinsip-prinsip Islam yang diredhai Allah SWT.

Lebih dari itu, nilai-nilai perjuangan Islam telah mengambilkira nilai-nilai sejagat yang sesuai untuk setiap manusia. Demikianlah apabila disebut betapa baginda Rasulullah SAW itu pembawa rahmat untuk seluruh alam. Baginda Rasulullah SAW bukanlah untuk bangsa arab sahaja, baginda juga bukan untuk kaum Muhajirin atau Ansar, bahkan baginda diutuskan untuk manfaat seluruh alam hinggalah ke hari kiamat.

Berpegang pada prinsip inilah PAS menagih sokongan daripada seluruh umat Islam. Demikian juga berkawannya PAS dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat iaini DAP dan PKR adalah bagi mendokong nilai-nilai sejagat yang sesuai untuk seluruh rakyat di negara ini.

Ayuh, terus beri sokongan padu kepada Pakatan Rakyat demi memastikan kita benar-benar mencintai baginda Rasulullah SAW! Menambah kekuatan kepada Pakatan Rakyat bermakna menambah kekuatan untuk PAS. Memperkukuhkan kekuatan PAS bermakna memperhebatkan perjuangan meletakkan kalimah Tauhid di negara ini.