Monday, May 26, 2014

Yakin kemampuan calon BN di Teluk Intan

  • PRK Teluk IntanPRK Teluk Intan
 1 / 1 
KUALA TERENGGANU - Wanita Gerakan Terengganu yakin akan kemampuan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong untuk menawan hati pengundi, khususnya masyarakat Cina di sana.

Ketua Wanita Gerakan negeri, Ng Ee Koon berkata, calon BN yang juga Presiden Parti Gerakan itu bukanlah muka baru dan sangat dikenali masyarakat Teluk Intan.

“Beliau sangat dikenali masyarakat tempatan dan pernah menjadi wakil rakyat kawasan itu.

"Rakyat terutamanya masyarakat Cina sangat mengenali dan menyenangi beliau berbanding lawannya yang merupakan muka baharu," katanya.

Kata Ee Koon, beliau melihat Siew Keong mempunyai kelebihan di kawasan tersebut selain faktor beliau seorang presiden parti.

"Tetapi kita tetap bekerja keras dan tidak boleh terlalu yakin kerana apa sahaja boleh berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, langkah DAP yang mempertaruhkan calon muda iaitu Dyana Sofya dilihat sebagai strategi bagi menarik sokongan pengundi muda dan masyarakat Melayu kali ini.

Bagaimanapun, beliau percaya, pengundi kini lebih matang dan mampu memilih parti mana yang terbaik dan wakil rakyat mana untuk mewakili mereka.

“Peluang untuk menang tetap ada untuk kita. Pada PRU13 yang lepas, kita tewas dengan majoriti lebih 7,000 undi. Untuk menarik sokongan rakyat dan pengundi dalam tempoh setahun ini bukanlah satu tugas yang mudah.

“Kita juga berdepan dengan isu semasa yang ada kalanya memberikan kelebihan kepada kita dan ada kalanya tidak," katanya.

Bagaimanapun kata Ee Koon, beliau yakin dengan jentera BN dan akan berusaha keras untuk memastikan pengundi kembali kepada parti itu.

Jelasnya, Wanita Gerakan Terengganu akan turut membantu kempen kali ini dan pergi ke Teluk Intan secara berperingkat.