Monday, June 9, 2014

20 peratus royalti hanya untuk p'raya Sarawak


KUALA LUMPUR: Tindakan Adun BN Sarawak mengemukakan usul untuk memohon Kerajaan Persekutuan menambah bayaran royalti dari 5 peratus kepada 20 peratus hanya janji politik menjelang pilihan raya negeri Sarawak.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, beliau merasakan langkah yang dibuat BN Sarawak itu bukan benar-benar serius ke arah itu.

“Saya tidak merasa mereka serius. Mereka hanya mengikut rentak perdana menteri jika beliau berjanji peratusan royalti yang lebih tinggi, tapi mereka mungkin bisu selepas pilihanraya,” kata Husam.

Beliau berkata demikian pada satu forum bertajuk  “Langkah Borneo: Minyak untuk semua” yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara semalam.

Mengulas lanjut, Husam yang juga pengerusi jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan berkata, rakyat Sarawak tidak perlu teruja dengan 'janji' menuntut 20 peratus royalti itu.

Husam berkata apabila Sarawak kembali di tangan BN selepas pilihan raya DUN Sarawak, kemungkinan mereka tidak akan menuntut kenaikan pembayaran royalti itu lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika lawatan ke Miri sempena Hari Gawai sebelum ini berkata bahawa pusat sudi berbincang mengenai permohonan tersebut. - HARAKAHDAILY 9/6/2014