Wednesday, June 11, 2014

Biar JK Teknikal Hudud bincang sesama sendiri - Jamil


KOTA BHARU: Buat pertama kali dalam sejarah teks khutbah Jumaat di masjid-masjid di Kelantan menyentuh isu pelaksanaan hukum hudud dua minggu berturut-turut.

Teks khutbah tersebut disediakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dibaca para khatib.

Sehubungan itu Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob merakamkan ucapan tahniah kepada Maik kerana memberi ruang menjelaskan isu hudud kepada orang ramai.

“Khutbah itu dibaca di seluruh masjid di negeri ini minggu lepas bagi memberi kefahaman kepada masyarakat berhubung hukum tersebut.

“Ini merupakan langkah proaktif bagi membantu kerajaan negeri dalam menjayakan pelaksanaan hudud di Kelantan. Terima kasih kepada panel yang menyedia teks khutbah isu hudud,” katanya ketika merasmikan Multaqa Imam, Guru Takmir dan Jawatankuasa Masjid Mukim Kelantan 2014 di Balai Islam semalam.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Nassurudin Daud, Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhammad dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustafa.

Menteri Besar turut mengingatkan imam dan guru takmir supaya mendapat gambaran sebenar terhadap isu-isu semasa yang berlaku khususnya melibatkan kepentingan akidah.

Sementara itu Jamil Khir berkata, Jawatankuasa Teknikal Hudud Kebangsaan telah diwujudkan dan dibincang di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Perkara ini dibincang di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan. Sebab kita tak nak nanti heboh orang ni sebut macam ni, orang tu pula sebut macam tu.

“Nanti akan berlaku perkara negatif pula. Biarlah jawatankuasa teknikal berbincang sendiri sesama mereka,” ujarnya kepada media selepas program berkenaan.

Menurutnya juga dua perkara besar dibincang dalam jawatankuasa teknikal terbabit iaitu arah untuk memandu pelaksanaannya hudud sebelum dibawa ke Parlimen dan ke Majlis Raja-Raja.

Katanya, jawatankuasa terbabit perlu dilihat sebagai badan bebas dan bukannya mengikut wajah mana-mana parti.

“Kita mahu memastikan surat permohonan pelaksanaan hudud dibawa ke Parlimen tanpa melibatkan mana-mana suara dari mana-mana parti,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 11/6/2014