Thursday, June 26, 2014

Cabaran berat 'balas kepercayaan'

  • Prof Dr Jayum JawanProf Dr Jayum Jawan
 1 / 1 
SHAH ALAM –  Tugas lebih berat menanti MCA dan Gerakan untuk mengembalikan semula keyakinan pengundi Cina kepada BN setelah diberi kepercayaan mengisi jawatan dalam barisan Kabinet.

Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Jayum Jawan berkata, pemimpin kedua-dua parti itu perlu bekerja keras sebagai  ‘membalas kepercayaan’ yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Jika diikutkan prestasi MCA dan Gerakan pada PRU lalu, tidak melayakkan mereka mendapat kedudukan dalam Kabinet.


“Tetapi kini mereka diberi kepercayaan itu, jangan disia-siakan peluang dan perlu tunjukkan usaha dan  kerja keras bahawa mereka layak,  kerana komuniti Cina ini menunggu apa yang boleh MCA dan Gerakan lakukan untuk mereka,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, lantikan itu adalah permulaan buat MCA dan Gerakan menunjukkan prestasi lebih baik agar terus mendapat mandat rakyat.

Beliau berkata, semua pihak sedia maklum sebelum ini prestasi dua parti tersebut kurang memberangsangkan pada PRU13 lalu.

"Tidaklah dikatakan MCA merajuk, kerana itu keputusan mereka sendiri. Tetapi pengumuman Najib itu boleh dianggap sebagai  ‘hygine factor’ yang hanya menggembirakan segelintir penyokong sahaja," katanya.

Dalam PRU13, MCA hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dun berbanding pada 2008, iaitu memenangi 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dun.

Gerakan pula hanya memenangi satu kerusi Parlimen iaitu Simpang Renggam, daripada 11 kerusi yang ditandinginya, dan tiga kerusi Dun iaitu Pemanis di Johor dan Tanjong Papat serta Elopura di Sabah, daripada 31 kerusi yang ditandinginya.