Friday, June 20, 2014

Hanya masa tentukan nasib Teras

  • Peter NansianPeter Nansian
 1 / 1 
KUCHING - Menteri Muda Pembangunan Komuniti dan Perindustrian Sarawak, Datuk Peter Nansian berkata, hanya masa akan menentukan sama ada Parti Tenaga Rakyat (Teras) diterima masuk Barisan Nasional (BN).
  
Adun Tasik Biru itu berkata demikian ketika mengulas keputusan Ahli Parlimen Baram, Anyie Ngau untuk kembali menyertai Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan spekulasi mengenai Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Sibu, Datuk Seri Wong Soon Koh dikatakan boleh menjejaskan permohonan Teras menyertai BN.
  
"Saya menghormati keputusan beliau (Anyie) dan komen saya ialah orang membuat komen dan menentukan ahli politik dari semasa ke semasa bagi memenuhi kedudukan mereka buat sementara. Tiada yang tetap dan tiada yang statik dalam politik," katanya pada sidang media semalam.


Anyie merupakan Ahli Parlimen pertama yang menafikan beliau keluar SPDP untuk menyertai Teras, yang baru ditubuhkan.
  
Anyie berkata beliau tidak pernah berhasrat menyertai parti lain dan menegaskan masih anggota SPDP serta menyatakan kesetiaannya kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan pemangku presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing.
  
Anyie bersama presiden SPDP ketika itu, Tan Sri William Mawan, dilaporkan meninggalkan SPDP untuk menyertai Teras.
  
Turut meninggalkan SPDP ialah Datuk Peter Nansian (Adun Tasik Biru), Datuk Sylvester Entri (Adun Marudi), Paulus Palu Ngumbang (Adun Batu Danau) dan Rosey Yunus (Adun Bekenu).

Teras ialah satu daripada lima parti politik di Sarawak yang pendaftarannya diluluskan tahun lepas.
  
Mawan dilaporkan menghadapi tentangan dalam SPDP yang diketuai oleh Tiong.
  
Teras menghadapi tentangan sengit daripada tiga parti komponen BN Sarawak - SUPP, SPDP dan Parti Rakyat Bersatu (PRS) - dalam usahanya untuk diterima masuk sebagai parti komponen BN.
  
Parti itu, yang disokong oleh kumpulan yang berpecah daripada SUPP dan SPDP, menetapkan 26 Julai ini sebagai tarikh untuk mengadakan mesyuarat agung tiga tahun sekali buat kali pertama. - Bernama