Sunday, June 15, 2014

Hudud: Beza antara Speaker Dun PR dengan BN


SHAH ALAM: Umno tidak ikhlas membincangkan pelaksanaan hukum hudud sebaliknya hanya berminat mempermainkan isu itu dengan menjadikan sebagai senjata politik.

Ini dapat dilihat apabila Speaker Umno dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu sendiri menolak usul membahaskan isu hudud yang cuba dibawa Adun PAS kerana bimbang menimbulkan kemarahan parti komponen Barisan Nasional, MCA dan Parti Gerakan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh yang merupakan Adun daripada DAP pula memutuskan untuk membenarkan isu hudud dibahaskan di persidangan DNS berbanding Umno di Terengganu.

“Umno bukan sahaja tidak mempunyai kesungguhan malah tidak pernah berniat untuk melihat undang-undang Islam dilaksanakan atau sekurang-kurangnya menaikkan taraf institusi Mahkamah Syariah di Malaysia.

“Mereka tidak membawakan usul hudud ini di negeri dikuasai mereka sebab isu hudud ini adalah senjata untuk melagakan PAS dan DAP,” kata Khalid ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Pada 15 April lalu, Speaker Dun Terengganu, Mohd Zubir Embong menolak usul yang dibawa oleh Adun Bukit Payong (PAS), Mohd Nor Hamzah di bawah peraturan mesyuarat Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap Dun.

Mohd Nor meminta persidangan ditangguh mengikut Fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan dewan merundingkan isu pelaksanaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 1432H/ 2002M yang diluluskan oleh dewan itu pada 7 Julai 2002.

Mohd Nor berkata, tindakan menolak usul itu berikutan Umno Terengganu cuba melepaskan diri dan takut dengan tekanan daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) terutama MCA dan MIC.