Monday, June 23, 2014

Ibu remaja malang ditahan reman polis 4 hari

poorboy_300x200
SEREMBAN: Susulan kepada penemuan seorang remaja OKU, Muhammad Firdaus Dullah,15, yang dikurung di dalam rumah dengan keadaan yang sangat menyedihkan; ibunya telah ditahan reman selama empat hari oleh polis.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdullah Roning mengesahkan ibu kepada Muhammad Firdaus telah ditahan reman selama empat hari sehingga hari Rabu ini.
“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001. Polis akan melihat pelbagai aspek dan akan rujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hospital dan pendakwa raya, sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” kata beliau.

Kelmarin negara dikejutkan apabila Jabatan Imigresen Negeri Sembilan yang diketuai oleh Pengarahnya, Faizal Fazri Omar, ketika mengadakan operasi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Flat Taman Semarak, Nilai; terkejut apabil menjumpai Muhammad Firdaus dalam sebuah bilik rumah yang kotor dan terdapat kesan najis serta air kencing.
Muhammad Firdaus ditemui dalam keadaan kurus kering, dipercayai kerana kekurangan zat makanan dan dalam keadaan diri yang tidak terurus.
Remaja malang itu juga ditemui dalam keadaan baju yang terkoyak dan reput serta badannya mempunyai kesan najis dan air kencingnya sendiri.
Justeru itu Muhammad Firdaus dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban untuk pemeriksaan lanjut.
Muhammad Firdaus kini dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di HTJ.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Sembilan (Exco Kerajaan Negeri Sembilan), Datuk Norhayati Omar, berkata, beliau meminta pihak polis agar menyiasat perkara itu bagi memastikan sekiranya terdapat unsur pengabaian dan penderaan.
Pengarah JKM Negeri Sembilan, Abdullah Hanapi berkata kes tersebut akan diambil alih oleh JKM untuk tindakan lanjut selepas pemeriksaan kesihatan selesai dijalankan.