Wednesday, June 18, 2014

Kasino: Selangor Sedia Tawar Diri Jika Pahang Menolak

Cadangan taikun perjudian, Tan Sri Vincent Tan untuk membuka kasino kedua di Bukit Tinggi sekiranya dibenarkan kerajaan negeri Pahang, menarik perhatian kerajaan-kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat terutama Selangor.

Ini berikutan ura-ura kerajaan Pahang akan menolak cadangan tersebut kerana berasa sudah cukup selesa dengan 1 kasino milik Genting Berhad yang beroperasi di negeri tersebut sejak hampir 50 tahun yang dulu.

Selain itu, Pahang yang diperintah BN juga tidak mahu usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Taliban terjejas dengan pembukaan kasino baru itu nanti.  Satu yang ada inipun dah tak terjawab bila dikritik rakyat, nak buka satu lagi?

Lupakan sajalah.

Perniagaan kasino seperti yang semua orang tahu, mempunyai pulangan yang besar dari segi kutipan hasil cukai, perlancongan, peluang pekerjaan, pertukaran mata wang asing dan pulangan-pulangan lain kepada kerajaan negeri dimana kasino tersebut beroperasi.

Selangor, yang berkongsi sebahagian keluasan kawasan Genting Berhad dengan Pahang, dirasakan layak untuk menjadi lokasi baru pusat perjudian yang nak ditubuhkan Vincent Tan kerana kedudukannya yang strategik disamping pengalaman berurusan dengan pengusaha kasino.

Ini perlu disebutkan kerana sebagai salah satu dari 2 negeri dimana kasino beroperasi di Malaysia, pengalaman yang dimilik kerajaan Selangor memang sukar dicari.  Bukan mudah nak berurusan dengan pusat kasino kerana keunikkan jenis perniagaan itu yang jarang ada di Malaysia.

Disamping itu, Selangor juga mempunyai banyak tanah-tanah tinggi yang boleh diteroka untuk membuka kasino.  Harga tanah-tanah ini juga boleh dikatakan murah dan berpatutan, berbanding dengan Pahang.

Kerajaan Selangor dikatakan bersedia untuk menawar pelbagai insentif menarik kepada Vincent Tan sekiranya beliau bersetuju untuk mengalihkan lokasi kasino tersebut dari Bukit Tinggi ke mana-mana bahagian dalam negeri Selangor.

Antaranya, pengecualian cukai tanah dan pintu antara 5 - 10 tahun, kemudahan kelulusan, dimasukkan dalam kalendar perlancongan negeri dan sebagainya.

Menariknya, sejak mengambil alih pentadbiran negeri Selangor pada tahun 2008, Pakatan Rakyat tidak pernah memberi tawaran sebegini menarik kepada mana-mana pengusaha yang mahu berniaga di negeri itu.

Justeru, Vincent Tan harus menyambut tawaran ini kerana peluang baik tidak selalunya datang.