Sunday, June 8, 2014

PBRS hormati keputusan King Chew sertai MCA

KOTA KINABALU - Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup berkata parti itu menghormati keputusan Adun Luyang Dr Hiew King Chew yang menyertai MCA sekalipun permohonannya untuk menganggotai PBRS sudah diluluskan.

"King Chiew memohon untuk menyertai PBRS selepas bertemu saya beberapa kali awal tahun ini. Permohonannya diproses dan sudah diluluskan. Akan tetapi jika beliau berasakan lebih baik baginya bersama MCA, kami hormati keputusannya," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Kurup yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagaimanapun menyuarakan rasa terkejut dengan tindakan MCA menerima keanggotaan King Chiew memandangkan parti itu sebelum lantang membantah penyertaan Adun pembangkang dalam Barisan Nasional (BN).

Semalam Hiew menyerahkan borang keanggotaannya kepada Pengerusi MCA Sabah Wilson Yong dan disaksikan oleh Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Hiew dilapor berkata beliau memilih MCA kerana parti itu mempertahankan kedudukan kaum Cina selain turut berkhidmat untuk semua bangsa.

Katanya beliau memutuskan untuk menyertai MCA selepas beberapa pemimpin tempatan parti itu mempelawanya berbuat demikian.

PBRS merupakan satu daripada parti komponen BN Sabah. - Bernama