Tuesday, June 3, 2014

PRK Teluk Intan: Pengundi luar antara faktor kalah


KUALA LUMPUR: Analisis awal Pakatan Rakyat mendapati faktor pengundi luar yang tidak balik mengundi antara faktor kekalahan DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan 31 Mei lalu.

Pengarah Jawatankuasa Induk PAS PRK Teluk Intan, Salahuddin Ayub berkata, tumpuan bagi memastikan pengundi luar balik mengundi tidak diambil satu keperluan utama ketika itu menyebabkan ramai yang tidak pulang mengundi.

"Ini terbukti apabila sasaran kita untuk peartusan keluar mengundi pada 73 peratus tidak tercapai.

"Faktor pengundi luar kita tidak letakkan sebagai keperluan utama untuk memanggil mereka pulang agar peratusan itu tercapai dan ini menyebabkan kita mengalami kekalahan apabila hanya 66.67 peratus sahaja keluar mengundi," jelasnya kepada Harakahdaily.

Pada PRK Teluk Intan lalu, calon BN Datuk Mah Siew Keong menang tipis terhadap calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi.

Mah memperoleh 20,157 undi manakala Dyana mendapat 19,919 undi.

Mengulas lanjut Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS berkata, kebanyakan pengundi luar berasa selesa dengan kemenangan DAP pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu dengan majoriti lebih 7,313 undi sehingga merasakan tidak perlu pulang.

"Ini sebagai pengajaran, kita jangan ingat kemenangan yang lepas tidak menjamin kemenangan kita akan datang.

"Bila lihat kita menang dengan majoriti yang besar maka kita tidak perlu mengundi, ini satu kesilapan dan ia tidak harus diulangi pada masa akan datang, ini peringatan kepada semua," sambung beliau.

Beliau berkata, peningkatan sokongan pengundi Melayu sebanyak tiga peratus juga tidak dapat menampung untuk kemenangan DAP.

Jelasnya, PAS akan memastikan gerak kerja jentera bagi Parlimen Teluk Intan akan terus bekerja bagi meningkatkan lagi sokongan pengundi Melayu bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang