Wednesday, June 11, 2014

Tiada salah laku dalam pemilihan CEC DAP

  • Zairil Khir JohariZairil Khir Johari
 1 / 1 
ALOR SETAR - Pengerusi Jawatankuasa Interim DAP Kedah, Zairil Khir Johari tetap yakin tiada sebarang salah laku dalam pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) walaupun keputusan sebenar belum diputuskan mahkamah.

Menurutnya, DAP Pusat juga sudah mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana sehingga kini belum ada sebarang jawapan mengenai status terkini CEC walaupun sudah berlarutan sekian lama.

Beliau berkata, permohonan awal dihantar kepada ROS supaya menarik balik kenyataan CEC tidak diiktiraf kerana sudah membuat permohonan semula mengikut saluran yang ditetapkan namun tidak menerima sebarang maklum balas.


“Kita tunggu keputusan mahkamah dan pasti tiada sebarang salah laku dalam CEC,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Terdahulu, Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik mencabar supaya Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera mendedahkan bukti keputusan pemilihan CEC tidak mempunyai masalah setelah mendakwa ROS tidak pernah menyatakannya tidak sah.

Zairil berkata, beliau tidak perlu mengemukakan sebarang bukti.

“Saya tidak patut membuktikan CEC tidak ada masalah sepatutnya orang yang membuat tuduhan itu perlu buktikannya. Sebenarnya dari dulu lagi ROS sendiri tidak pernah buktikan apa-apa kesalahan DAP.

“Bagaimanapun kami akur dan membuat pemilihan semula. Kemudian apa lagi ROS mahu semua yang diminta sudah dilaksanakan,” katanya.

Menurutnya, DAP Kedah hanya ada satu iaitu Jawatankuasa Interim DAP Kedah yang diiktiraf CEC.

“Guan Aik seolah-olah mahu membuat mesyuarat agung tahunan (AGM) sendiri dengan parti sendiri kerana tidak mengikut ketetapan perlembagaan parti.

“Walaupun beliau tetap mahu melaksanakan AGM pada 11 Julai depan namun hanya AGM yang bakal dilaksanakan Interim pada September depan diiktiraf CEC,” katanya.

Pergolakan dalaman DAP Kedah mula tercetus apabila Zairil dilantik CEC DAP bagi menggantikan Guan Aik, selepas DAP pusat menghantar satu surat kepada Guan Aik pada 10 Mei tahun lalu