Thursday, July 10, 2014

Abdullah Sani diberi surat tunjuk sebab

  • Abdullah Sani Abdul HamidAbdullah Sani Abdul Hamid
 1 / 1 
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid diberikan surat tunjuk sebab kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berhubung kedudukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata, pihaknya menuntut penjelasan beliau kerana mengeluarkan kenyataan yang bertajuk 'Abdul Khalid perlu akur ‘Langkah Kajang’'.

"Abdullah Sani akan diberi surat tunjuk sebab untuk mendapatkan penjelasan beliau berkenaan kenyataan media tersebut," katanya dalam kenyataan media, semalam.
Sebelum ini, media melaporkan Abdullah Sani menafikan beliau diberi arahan oleh Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali untuk mengerakkan gelombang menjatuhkan Abdul Khalid.

Abdullah Sani sebaliknya menjelaskan kenyataan beliau itu adalah desakan dalaman parti dan menepis dakwaan Azmin mahukan jawatan menteri besar.

Katanya, kenyataan itu dibuat berdasarkan keputusan mesyuarat Majlis Kepimpinan Pusat PKR yang dipengerusikan Presiden Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pada 15 Januari lalu.

Sementara itu, Lembaga Disiplin PKR turut menggantung keanggotaan dua ahlinya selama tiga bulan berkuatkuasa serta merta sehingga siasatan selesai.

Saifuddin Shafi Muhammad dari cabang Hulu Selangor digantung keanggotaan kerana membocorkan minit mesyuarat Biro Politik kepada umum melalui akaun Twitternya pada 14 Mei lalu.

Vasantha Kumar a/l Krishnan dari cabang Hulu Langat pula, digantung kerana membuat tuduhan tidak berasas terhadap anggota parti sewaktu pemilihan cabang itu pada 11 Mei lalu.

Manakala, Nor Asmah Baharuddin dari cabang Bandar Tun Razak, diberi surat tunjuk sebab dan digantung keahlian kerana mengeluarkan kata-kata kesatnya terhadap parti dalam Facebooknya 26 Jun lalu, namun tempoh penggantungan tidak dinyatakan.

No comments: