Saturday, July 5, 2014

Ada pihak cuba kaitkan PAS dengan militan


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mendapat maklumat ada pihak tertentu cuba memainkan isu militan ketika ini bagi mengaitkannya dengan PAS.

Ketuanya Suhaizan Kaiat percaya, perancangan pihak berkenaan adalah untuk menghalang kepercayaan orang bukan Islam kepada PAS, khususnya.

"Ini merupakan perncangan jahat, dan kita baru dapat maklumat itu hari ini. Kita percaya isu ini untuk mencemarkan imej PAS," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Justeru, beliau menasihatkan rakyat negara ini jangan mudah mempercayai isu ini yang sengaja diciptakan untuk mengaitkan PAS dengan militan. 

"Ini adalah tindakan terancang untuk dikaitkan dengan PAS dan mahu menakut-nakutkan rakyat negara ini mendekati PAS. Jangan terpengaruh dengan perkara ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga meminta mana-mana pihak tidak melabelkan institusi pondok sebagai tampat untuk gerakan ekstrem dan militan.

Malah katanya, institusi pondok seharusnya mendapat perhatian daripada bukannya mendapat cemuhan oleh mana-mana pihak baik pun kerajaan.

"Janganlah terlalu curiga dengan institusi pondok yang banyak melahirkan generasi berilmu dan akhlak, malah ramai ulama-ulama hari ini adalah hasil daripada pondok," katanya. - HARAKAHDAILY 5/7/2014