Tuesday, July 15, 2014

Ceroboh pengairan, Pakatan gesa tubuh JK tetap kaji Esscom


PETALING JAYA: Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat menggesa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak agar menubuhkan satu Jawatankuasa Tetap Dwipartisan Parlimen untuk mengkaji semula Sistem Kawalan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Esszone.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, jawatankuasa tetap itu harus ditubuhkan memandangkan insiden pencerobohan kawasan perairan Sabah di bawah seliaan Esscom semakin meningkat.

Pada 12 Julai lalu seorang anggota polis marin terbunuh dalam serangan hendap  manakala rakannya telah diculik oleh sekumpulan lapan lelaki bersenjata di sebuah resort di Pulau Mabul, Sabah.

"Pakatan Rakyat mengucapkan takziah kepada keluarga anggota polis Marin Korporal Abd Rajah Jamuan dan mendoakan keselamatan Konstabel Zakia Aleip yang dipercayai diculik," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PKR, semalam.

Sementara itu, Najib mengakui terdapat beberapa kelemahan yang dikesan menyebabkan kumpulan penceroboh dengan mudah membolosi kawalan pihak berkuasa dan melakukan serangan hendap.

Justeru, Najib mahu Esscom dikaji semula terutama melibatkan jumlah anggota yang mencukupi bagi menghadapi sebarang pencerobohan terutama dari Selatan Filipina. - HARAKAHDAILY 15/7/2014

No comments: