Sunday, July 13, 2014

Insinerator: buruk lebih banyak daripada baik


KUALA LUMPUR: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menggesa kerajaan terus menguatkuasakan kempen konsep 3R iaitu 'kurangkan penggunaan, guna semula dan kitar semula' sebagai alternatif kepada projek insinerator di Taman Beringin, Kepong, di sini.
    
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kuala Lumpur Tak Nak Insinerator (KTI) Isaiah Jacob berkata konsep 3R itu perlu dipraktikkan secara berterusan sebagai usaha mengurangkan kebergantungan kepada tapak dan pusat pelupusan sampah.    
    
Katanya, penggunaan teknologi insinerator sebenarnya mendatangkan bahaya kepada alam sekitar dan kesihatan penduduk sekitar.
    
Beliau berkata, pihaknya telah menghantar beberapa pucuk surat untuk bersemuka dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan bagi membincangkan perkara itu, namun, sehingga kini belum mendapat maklum balas.
    
"Projek insinerator boleh menjejaskan kesihatan dan alam sekitar selain memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
    
Jacob berkata kerajaan masih mempunyai alternatif lain untuk memastikan pengurusan sampah dan sisa pepejal negara lebih terurus secara lebih sistematik walaupun tanpa penggunaan teknologi insinerator.
    
Katanya alternatif itu termasuk usaha memperketat penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 bagi mendidik masyarakat menguruskan dan mengasingkan sampah.
    
Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan pembinaan insinerator di Taman Beringin, Kepong yang mampu membakar kira-kira 1,000 tan daripada 2,500 tan sisa pepejal sehari dari kawasan Lembah Klang tanpa melepaskan bau yang kurang menyenangkan.
    
Pembinaan insinerator berteknologi tinggi itu juga akan dapat menampung sisa pepejal yang kian meningkat setiap tahun.
    
Selain di Taman Beringin, insinerator juga bakal dibina di Bukit Payung, Johor dan Sungai Udang, Melaka.
    
Pembidaan tender bagi pembinaan ketiga-tiga insinerator yang menggunakan spesifikasi antarabangsa, akan dibuka pada pertengahan 2015 melalui tender terbuka dan dijangka siap dan mampu beroperasi pada 2018.

No comments: