Wednesday, July 2, 2014

Khalid kena terima kekalahan

  • Manikavasagam menunjukkan kertas undi yang digunakan ketika pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor 21 Jun lalu, di Pejabat Dun Bukit Melawati, semalam.Manikavasagam menunjukkan kertas undi yang digunakan ketika pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor 21 Jun lalu, di Pejabat Dun Bukit Melawati, semalam.
 1 / 1 
KUALA SELANGOR - Ketua PKR Cabang Kuala Selangor, S Manikavasagam menyifatkan desakan supaya kiraan atau pemilihan semula dibuat bagi cabang itu ekoran kekalahan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai tidak perlu.

“Tiada sebab lagi nak adakan pemilihan semula, malah tiada unsur sabotaj pun seperti yang didakwa,” tegasnya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) sudah memberi penjelasan berhubung insiden bekalan elektrik terputus yang berlaku ketika pengiraan kertas undi peringkat MPP berlangsung.

“Saya ingin tegaskan ketika blackout itu berlaku, petugas tengah kira kertas undi peringkat MPP yang memutuskan penyandang Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan calon Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin kalah di sini.

“Mereka bukannya tengah kira kertas undi untuk Cabang Kuala Selangor. Kalau betul ada sabotaj, pastinya ketika itu undian terhadap Azmin dan Zuraidah berubah,” katanya ketika mengulas dakwaan Setiausaha Politik Menteri Besar, Azman Abidin yang mengatakan wujud unsur sabotaj ketika pemilihan semula.

Penjelasan itu disokong wakil calon, A Steven dan wakil pemerhati, Norahim Tengol yang turut menjelaskan situasi sebenar ketika isu ‘blackout’ berlaku dan tindakan telus JPP meminta semua petugas mengosongkan bilik pengiraan sehingga bekalan elektrik pulih.

Manikavasagam turut membantah sekeras-kerasnya mana-mana desakan yang mahu pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor dibuat semula.

“Jika ada desakan, kami akan bantah. Begitu juga dengan pengiraan semula kerana pada proses akhir pengesahan undian, wakil calon mereka sudah setuju dan tandatangan borang 14 yang catat keputusan undian.

“Khalid kena terima kekalahan dan kena usaha lagi. Lepas tiga tahun boleh datang balik dan bertanding di sini,” katanya pada sidang media di Pejabat PKM Dun Bukit Melawati, semalam.

Sebelum ini, Azman akui bersedia menyahut cabaran JPP untuk membuat aduan berhubung wujud elemen sabotaj ketika proses pengiraan undi Cabang PKR Kuala Selangor.

Beliau turut menolak untuk proses kiraan semula sebaliknya mendesak supaya pemilihan cabang itu dilakukan sekali lagi.

21 Jun lalu, Adun Pelabuhan Klang itu tewas dengan hanya memperolehi 515 undi berbanding Manikavasagam 701 undi pada pemilihan, manakala keputusan rasmi pemilihan itu dimaklumkan Rabu lalu.

Sementara itu, Manikavasagam meminta pihak-pihak tertentu yang mendesak Abdul Khalid melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor supaya semua akur dengan keputusan Pusat.

“Saya tak nafikan ramai desak Khalid lepaskan jawatan. Saya pun menyokong tapi itu bergantung kepada keputusan pimpinan Pusat (jawatan MB).

“Kalau orang tanya siapa pilihan paling layak, pasti saya pilih Azmin sebab beliau bos ‘saya’,” katanya sambil berseloroh ketika diminta komen calon yang sesuai menggantikan Abdul Khalid.