Thursday, July 17, 2014

Khalid Samad hantar surat mohon hadap Sultan

  • Khalid SamadKhalid Samad
 1 / 1 
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad telah memohon perkenan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memberi penjelasan berhubung kenyataannya berkaitan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).
 
Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor itu berkata beliau telah menghantar surat kepada pihak Istana Selangor petang ini bagi memohon kebenaran untuk majlis menghadap itu.
  
"Tujuan (memohon menghadap) ialah untuk jelaskan kenyataan saya yang sebenar terhadap baginda. Kita tidak boleh berpegang pada laporan akhbar sahaja...kita khuatir kenyataan kita telah disalah tafsir kerana ia (titah sultan) dibuat berdasarkan bacaan daripada laporan akhbar arus perdana.

"Mungkin ini semua salah faham," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
  
Sultan Sharafuddin semalam menyatakan rasa kesal dan dukacita terhadap Ahli Parlimen Pas itu yang dilaporkan menerusi media sebelum ini mempersoalkan kuasa eksekutif Mais selain mencadangkan kerajaan negeri supaya kuasa majlis itu dihapuskan.

Sultan Selangor ketika bertitah pada majlis perasmian Masjid Pekan Sepang semalam menegaskan bahawa Khalid sebagai seorang yang bukan anak jati Selangor, sepatutnya melengkapkan diri dengan memahami sejarah dan mendalami undang-undang di Selangor, terutama Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.
  
Baginda turut menegur Khalid yang disifatkan jahil tentang peranan Mais yang diwujudkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor sebagai penasihat dan membantu baginda menjalankan kuasanya sebagai Ketua Agama Islam di negeri itu.
  
Sultan Selangor bertitah tindakan Khalid itu seolah-olah menunjukkan sikap biadab dan penentangan beliau terhadap kuasa baginda sebagai Ketua Agama Islam di Selangor yang mendapat nasihat daripada Mais.
  
Mengulas lanjut, Khalid berkata pada sidang media yang diadakan di Parlimen pada 17 Jun lepas, beliau memberi cadangan supaya kerajaan negeri membuat kajian sama ada perlu untuk menarik balik kuasa eksekutif Mais dengan tujuan untuk menyelamatkan imej Sultan Selangor.
  
Beliau berkata cadangan itu dibuat susulan tindakan badan itu tidak memulangkan Bible dalam bahasa Malaysia yang dirampas daripada Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) pada Januari lepas.

"Apabila mempunyai kuasa eksekutif, jika tersilap bertindak seperti isu tindakan merampas Bible, ia memalukan Sultan. Jika tiada kuasa eksekutif, maka Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan bertindak di bawah kuasa kerajaan negeri dan sekiranya badan agama itu melakukan kesilapan maka kerajaan negeri akan bertanggungjawab dan orang ramai tidak akan marahkan Sultan.
  
"Itu tujuan utama saya, iaitu untuk selamatkan imej Sultan sebab kita sayangkan Sultan dan kita tidak mahu baginda dicemuh disebabkan salah tindakan itu. Sebaik-baiknya kuasa eksekutif diserah kepada kerajaan negeri dan Mais bertindak seperti Dewan Undangan Negeri Selangor," katanya.
 
Ditanya mengenai kecaman yang banyak diterima beliau susulan titah baginda itu, Khalid berkata beliau akan memberi penjelasan sepenuhnya dalam sidang media di pejabatnya esok, termasuk menunjukkan rakaman video sidang media beliau ketika mengeluarkan kenyataan itu di Parlimen. - Bernama

No comments: