Thursday, July 3, 2014

PASMEB gelar segelintir ahli parlimen PKR ‘budak nakal’

Khalid-Ibrahim
SEPANG: Pakatan Anak-Anak Selangor Menyokong Menteri Besar( PASMEB) menggelar beberapa orang ahli parlimen PKR yang mengkritik dan mendesak Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dalam pentadbirannya sebagai ‘budak nakal”.

Presiden PASMEB, Mazli Saring berkata, mereka menentang sekeras-kerasnya tindakan beberapa orang pemimpin PKR seperti Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, dan ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang menghentam dan mengkritik Menteri Besar Selangor baru-baru ini.

“Situasi ini berlaku disebabkan adanya arahan oleh individu tertentu yang mengimpikan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor”, katanya lagi.
PASMEB mewakili rakyat Selangor melahirkan rasa puas hati di bawah pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar semenjak kemenangan Pilihanraya ke-12 yang lalu.
“Menteri Besar dan barisan kepimpinan negeri telah menyambung pentadbiran kerajaan Barisan Nasional dengan lebih teratur dan tersusun.
Ujarnya lagi, pelbagai program telah diatur untuk rakyat dengan tidak memilih darjat mahupun latar belakang politik.
Ini dibuktikan oleh rakyat Selangor dengan keputusan PRU ke-13 yang telah menambahkan bilangan kerusi DUN Pakatan Rakyat dari 36 ke 44 kerusi.
Pertambahan sokongan rakyat ini dalam perkembangan politik semasa membuktikan bahawa rakyat Selangor amat berpuas hati dengan pentadbiran negeri yang dipimpin oleh Tan Sri Khalid Ibrahim.
Dalam masa yang sama, Mazli turut menafikan andaian Ahli Parlimen Bukit Katil yang mengatakan bahawa majoriti ADUN PAS menolak kepimpinan Menteri Besar.
“Sila sandarkan kenyataan tersebut dengan bukti dan fakta yang sahih sebelum mengeluarkan kenyataan”, katanya.
Katanya lagi, selaku Ketua AMK, beliau tidak selayaknya bercakap dan memberikan kenyataan bagi pihak ADUN PAS.
“Politik apakah yang mahu ditonjolkan oleh Shamsul kepada rakyat Selangor? Beliau sedikit pun tidak layak memberi tekanan kerana beliau bukan rakyat Selangor”.
PASMEB turut menegur kenyataan ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, kerana tidak berhenti mendesak Tan Sri Khalid Ibrahim supaya turun dari kerusi Menteri Besar.
“Beliau harus rasa bersyukur dan berterima kasih kepada rakyat Selangor kerana walaupun berasal dari Bagan Serai Perak , tetapi telah diberikan peluang untuk menjadi ADUN Sri Muda untuk dua penggal.